KUALA LUMPUR, 29 Mac – Malaysia mempunyai potensi untuk muncul sebagai pembekal utama bahan mentah bagi aktiviti pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) di rantau Asia Pasifik menerusi kerjasama dengan rakan antarabangsa selain mengoptimumkan rantaian bekalan, kata MIDF Research.

Dalam nota hari ini, cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu berkata Malaysia juga mampu memainkan peranan dalam pasaran SAF global dengan memanfaatkan sumber bahan mentah yang besar, industri biobahan api yang mantap, sokongan kerajaan serta kerjasama kukuh dengan kalangan penggiat minyak dan gas.

Namun, pada masa sama, cabaran yang perlu ditangani adalah seperti persaingan dengan bahan api konvensional serta industri lain yang mendapatkan bahan sama bagi tujuan tenaga bersih, kekangan teknologi dan kebimbangan alam sekitar.

“Ini penting bagi merealisasikan potensi dan menjadikan Malaysia sebagai penggiat utama dalam pengeluaran dan pengedaran SAF,” katanya.

MIDF Research berkata dalam inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia menggunapakai matlamat pelepasan karbon sifar bersih Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi penerbangan menjelang 2050, selain menyasarkan 47 peratus campuran SAF menjelang 2050.

Sehubungan itu, ia percaya pengiktirafan sebagai pembekal bahan mentah utama itu akan turut meletakkan Malaysia dalam kelompok yang berperanan penting berkaitan aspek persekitaran SAF.

“Gabungan bahan mentah dan ketersediaan bahan api Jet A1 menjadikan Malaysia bersedia untuk muncul sebagai antara pengeluar utama SAF di rantau ini.

“Malah, baru-baru ini, syarikat penerbangan Air New Zealand (ANZ) telah menyerlahkan lagi potensi Malaysia untuk muncul sebagai pembekal utama bahan mentah SAF di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Pada 20 Mac lepas, Bernama melaporkan usaha syarikat penerbangan berkenaan melancarkan pelawaan terbuka global kepada kalangan penginovasi dan syarikat pemula niaga sektor SAF, termasuk Malaysia untuk menjadi rakan kongsinya sebagai pembekal.

Inisiatif kerjasama sedemikian, kata MIDF Research, memaparkan komitmen ANZ untuk mengurangkan jejak karbon dan seiring dengan NETR Malaysia.

Malaysia juga, katanya, mempunyai industri biobahan api yang mantap, terutama dalam pengeluaran biodiesel daripada minyak sawit manakala infrastruktur sedia ada serta kepakarannya juga dapat dimanfaatkan untuk beralih kepada pengeluaran SAF.

“Dasar dan insentif kerajaan bagi menyokong industri biobahan api juga boleh diperluas untuk turut merangkumi pengeluaran SAF seperti insentif kewangan, pengecualian cukai dan geran penyelidikan yang akan menggalakkan pelaburan dalam projek SAF dan memudahkan lagi aspek pembangunan pasaran,” katanya.

Malah, MIDF Research berkata kerjasama dan perkongsian antarabangsa dalam penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan SAF dengan negara-negara lain, pihak berkepentingan industri dan institusi penyelidikan, akan membantu dari segi memudahkan pertukaran pengetahuan, pemindahan teknologi dan akses pasaran.

“Mengambil kira jangkaan permintaan perjalanan udara komersial meningkat sekitar 3.9 peratus setahun bagi tempoh 20 tahun akan datang, kami percaya sekarang adalah masa yang tepat bagi pembangunan, pengeluaran dan pelaksanaan SAF,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here