KUALA LUMPUR, 1 April – AirAsia menyambung semula laluan antara Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu hari ini, dalam usaha untuk memperkukuh komitmen perkhidmatan di Sarawak dan Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata pihaknya berbesar hati untuk memperluas rangkaian penerbangan dalam negara dan pada masa yang sama meningkatkan tawaran destinasi di hab Sarawak dan Sabah.

“Sebagai sebuah syarikat penerbangan tempatan, penyambungan semula laluan-laluan ini membuktikan komitmen kami untuk menawarkan lebih banyak perkhidmatan di Malaysia. Dengan menghubungkan semula laluan-laluan ini, kami berhasrat untuk memenuhi peningkatan permintaan bagi perjalanan antara Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu sambil terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan pelancongan dalam negara.

“Kami berharap untuk menerbangkan lebih ramai tetamu pada laluan-laluan ini dan terus memperluas rangkaian domestik pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Sarawak Nurul Ain Mohammed Yunus berkata penyambungan semula laluan ini menandakan satu pencapaian penting dalam memperkasakan sektor pelancongan antara Pulau Pinang dan Sarawak.

Beliau berkata melalui penyambungan laluan ini, pihaknya menjangka impak positif terhadap pertumbuhan pelancongan Sarawak.

“Berikutan profil pelancong yang pelbagai dari Pulau Pinang, kami berharap dapat terus mempromosikan kepelbagaian warisan budaya, landskap semula jadi menakjubkan dan pengalaman pengembaraan unik di Sarawak.

“Penyambungan semula laluan ini membuka peluang untuk kami menarik lebih ramai pelancong dan memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here