PUTRAJAYA, 2 April – Malaysia dan Republik Kyrgyz hari ini membincangkan hubungan dua hala serta bertukar-tukar perspektif mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan pada Isnin berkata perbincangan itu adalah hasil pertemuan antara Menteri Luar Republik Kyrgyz, Zheenbek Kulubaev yang dalam rangka lawatan rasmi ke negara ini dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Kedua-dua menteri turut membincangkan potensi lawatan peringkat tinggi antara Malaysia dan Republik Kyrgyz, serta menyatakan kepuashatian dengan hasil Rundingan Dua Hala yang diadakan buat julung kali antara kedua-dua negara pada Februari tahun ini,” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra ini merupakan mesyuarat pertama bagi kedua-dua menteri berkenaan sejak Mohamad menyandang jawatannya pada Disember 2023.

Kulubaev dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa.

Lawatan rasmi Menteri Luar itu ke Malaysia bermula hari ini sehingga Rabu (3 April).

Menurut Wisma Putra hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Kyrgyz yang bermula sejak 1992 terus berkembang secara ketara, terutamanya dalam sektor perdagangan, pendidikan, pelancongan dan bantuan teknikal.

Pada 2023, Republik Kyrgyzstan merupakan rakan dagangan global ke-191 Malaysia, dengan jumlah perdagangan berjumlah RM162.31 juta (USD36.35 juta) dan lebihan dagangan sebanyak RM159.88 juta (USD35.82 juta) berpihak kepada Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here