BEIJING, 3 April – China sentiasa melihat Perancis sebagai rakan kongsi utama dan bersedia bersama negara itu memperkukuh kerjasama tradisional sambil meneroka potensi kerjasama dalam bidang tenaga hijau, inovasi sains dan teknologi, pembuatan canggih, kecerdasan buatan (AI) serta ekonomi digital ke arah mewujudkan situasi sama menang.

Perdana Menteri China Li Qiang pada Isnin berkata Perancis diharap dapat menyediakan persekitaran perniagaan yang terbuka, adil dan tanpa diskriminasi untuk syarikat China, di samping mendorong Kesatuan Eropah (EU) mengikut hukum ekonomi dan peraturan pasaran serta menyelesaikan keprihatinan satu sama lain melalui rundingan.

“Ketiadaan kerjasama dan kegagalan mewujudkan pembangunan adalah risiko yang paling besar.

“China dan Perancis merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan juga dua kuasa besar yang bertanggungjawab.

“China bersedia meningkatkan kerjasama multilateral dengan Perancis untuk menyumbang kepada penyelesaian isu panas antarabangsa dan penambahbaikan tadbir urus global,” katanya ketika bertemu Menteri Luar Perancis Stephane Sejourne di Beijing.

Li berkata China mahu bersama Perancis melaksanakan konsensus yang dicapai pemimpin dua negara, memperkukuh pertukaran di semua peringkat, menyemarakkan persahabatan tradisional dan memperdalam kerjasama yang saling menguntungkan.

China juga sudi bersinergi dengan Perancis untuk memajukan hubungan bilateral dan memperkasa koordinasi multilateral sekali gus menyuntik lebih banyak unsur menentu kepada pembangunan dunia.

Sementara itu, Sejourne berkata pihaknya bersedia mengambil peluang daripada sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik untuk memperluas pertukaran dan kerjasama membabitkan ekonomi dan perdagangan, perlindungan alam sekitar, teknologi AI, sosiobudaya dan lain-lain.

Perancis juga sedia berganding bahu menangani pelbagai cabaran global dan memantapkan lagi perkongsian strategik komprehensif dengan China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here