PUTRAJAYA, 5 April – Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 [Akta A1648] dan Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022 [Akta 835] serta dua perundangan subsidiari baharu akan dikuat kuasa pada 1 Jun ini.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan memaklumkan dua perundangan subsidiari itu yang dikuat kuasakan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) adalah Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Loji yang Menghendaki Perakuan Kelayakan) 2024 dan Perintah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Orang Berlesen) 2024.

KESUMA juga memaklumkan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong pada 2 April lepas telah menandatangani warta bagi penetapan tarikh permulaan kuat kuasa Akta 835 dan Akta A1648 serta menandatangani dua warta bagi perundangan subsidiari baharu tersebut.

“Semua perundangan tersebut telah disiarkan dalam warta oleh Jabatan Peguam Negara pada 2 April 2024 dan akan berkuat kuasa pada 1 Jun 2024,” menurut kenyataan itu.

Akta A1648 dan Akta 835 telah diluluskan oleh Parlimen pada 16 Mac 2022. Selaras dengan kelulusan kedua-dua Akta tersebut, JKKP telah menggubal perundangan subsidiari baharu di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) [Akta 514] bagi menggantikan perundangan subsidiari lama di bawah Akta yang dimansuhkan.

Penggubalan itu dibuat bagi memastikan peralihan peruntukan dan pembangunan sistem yang terkandung dalam perundangan subsidiari lama kepada perundangan subsidiari baharu berjalan lancar dengan kesan yang minimum kepada industri mahupun perkhidmatan jabatan apabila kedua-dua Akta tersebut dikuat kuasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here