ALOR SETAR, 7 April – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) meminta kerajaan untuk menaikkan harga lantai dan menetapkan harga siling belian padi bagi mengatasi isu berkaitan beras.

Pengerusi LPP Datuk Mahfuz Omar berkata kenaikan harga lantai belian padi juga sebagai melindungi petani supaya pengilang beras tidak boleh membeli padi di bawah paras harga lantai ditetapkan.

Beliau berkata harga siling belian padi pula perlu ditetapkan bagi mengelak ketidaktentuan dan manipulasi berterusan terhadap harga padi di pasaran tempatan yang seterusnya memberi kesan kepada harga dan bekalan beras.

“Kami di LPP melalui Majlis Penasihat Peladang yang membabitkan wakil-wakil kerajaan negeri dari setiap negeri telah membuat resolusi dan dah angkat kepada menteri untuk melihat masalah ini yang merupakan satu rantaian bermula dari benih, padi kepada beras.

“Kita mencadangkan harga lantai belian padi dinaikkan, harga lantai ini untuk melindungi petani, kilang tak boleh beli di bawah harga tersebut, iaitu harga untuk kehidupan dan keuntungan petani,” katanya selepas merasmikan Program Jualan Agro MADANI Mega Raya LPP Kedah di sini hari ini.

Selain itu, Mahfuz berkata pihaknya turut mencadangkan kerajaan supaya menetapkan harga siling bagi beras import untuk mengelakkan manipulasi beras dalam pasaran.

“Bila tak ada harga siling, ia akan menyebabkan pengilang-pengilang memanipulasi bekalan. Mereka salin beras tempatan untuk buat beras import, beras dicampur dan sebagainya, jadi kita minta adakan harga siling beras import,” katanya.

Pada Oktober tahun lepas, kerajaan mengumumkan peningkatan harga lantai belian padi kepada RM1,300 satu tan berbanding RM1,200, kadar sejak 2014.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here