BANGKOK, 18 April – Thailand dan New Zealand bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala mereka kepada Perkongsian Strategik menjelang 2026, menandakan langkah penting ke hadapan dalam kerjasama mereka yang telah lama terjalin.

Dalam satu kenyataan bersama, Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin dan rakan sejawatannya dari New Zealand Christopher Luxon berkata Perkongsian Strategik itu akan melibatkan peningkatan kerjasama dalam bidang kepentingan bersama seperti keselamatan, perdagangan dan pelaburan, sains dan teknologi, budaya, pendidikan, pelancongan dan hubungan rakyat dengan rakyat yang lebih erat.

“Sebagai pengiktirafan kepada hubungan yang telah lama terjalin ini dan komitmen bersama untuk memperdalam dan mengukuhkan hubungan sedia ada bagi merealisasikan potensi penuh dalam kerjasama kami, oleh itu, Thailand dan New Zealand telah bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala kami kepada Perkongsian Strategik menjelang 2026,” kata kedua-dua perdana menteri itu.

Srettha dan Luxon telah mengarahkan kedua-dua kementerian luar mereka untuk menyelaras dengan kementerian dan agensi berkaitan untuk bekerjasama dalam mewujudkan Pelan Hala Tuju dan Pelan Tindakan Komprehensif bagi Perkongsian Strategik itu.

Luxon dalam rangka lawatan sulung ke Thailand dari Selasa hingga 18 April. Lawatan itu memperingati 68 tahun hubungan diplomatik antara New Zealand dan Thailand serta hampir 20 tahun jalinan Perkongsian Ekonomi yang lebih rapat antara Thailand-New Zealand.

Sementara itu, Srettha dan Luxon mengiktiraf ulang tahun ke-20 Perkongsian Ekonomi yang lebih rapat antara Thailand-New Zealand (TNZCEP) pada 2025.

Kedua-dua perdana menteri itu juga teruja untuk melihat kemasukan bebas tarif bagi semua import Thailand dan New Zealand mulai 1 Jan 2025 dan menyatakan bahawa perdagangan dua hala telah meningkat lebih daripada tiga kali ganda dalam tempoh 20 tahun sejak TNZCEP dilaksanakan.

“Sebagai mengiktiraf kerjasama dan potensi ekonomi kami yang luas, kedua-dua perdana menteri itu hari ini mengumumkan matlamat bersama untuk menggandakan perdagangan dua hala sebanyak tiga kali ganda menjelang 2045,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kedua-dua perdana menteri bersetuju untuk mengutamakan penyambungan semula penerbangan terus antara Thailand dan New Zealand pada masa hadapan.

“Mereka menetapkan sasaran 100,000 pelancong dari New Zealand ke Thailand menjelang 2025 dan 40,000 pelancong dari Thailand ke New Zealand menjelang 2025,” menurut kenyataan bersama itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here