DUBAI, 19 April – Firma keselamatan siber global, Kaspersky menjangkakan lebih ramai jurutera dan pakar teknologi maklumat diperlukan untuk membangunkan keselamatan dan imuniti siber yang lebih kukuh bagi memerangi gelombang jenayah siber yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kaspersky Eugene Kaspersky berkata pihaknya telah sedia memahami bahawa era siber akan sangat terhubung pada masa depan sekali gus akan mengoptimumkan penggunaan sumber dan menjadikan dunia lebih pantas, lebih baik dan lebih menarik.

“Perkara ini mempunyai masa depan yang cerah namun pada masa sama, jika saya membuka pintu belakang dan melihat jenayah siber, kami mengesan lebih 400,000 perisian hasad unik baharu setiap hari,” katanya semasa perbincangan panel yang mengupas Sustainable Shared Digital Space sempena Persidangan Imuniti Siber Kaspersky di sini, pada Khamis.

Beliau berkata penggodam semakin bijak dan pada masa sama pihaknya menerima lebih banyak laporan daripada pelanggan dan rakan kongsi mengenai serangan atau percubaan untuk menceroboh sistem perindustrian.

Turut senada mengenai sentimen itu, CEO CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab yang menekankan kepentingan menyepadukan langkah keselamatan siber dari awal pembangunan produk.

Beliau menegaskan bahawa keselamatan siber tidak seharusnya ditambah kemudian sebaliknya sebagai satu komponen penting dalam proses reka bentuk dan pembangunan untuk menangani kelemahan dengan berkesan secara lebih awal.

“Kebimbangan terhadap pelbagai jenis isu keselamatan siber, kebanyakannya terjadi selepas insiden berlaku. Pada masa itu sudah terlewat kerana kesan insiden siber boleh menjadi besar,” katanya.

Amirudin berkata justeru, pelaksanaan dasar atau peraturan khusus oleh pihak berkuasa domestik untuk menguatkuasakan keselamatan adaptif dan pendekatan selamat mengikut reka bentuk adalah penting.

Persidangan Imuniti Siber antarabangsa pertama 2024 itu diadakan di Museum of the Future di sini.

Persidangan tiga hari yang bermula semalam itu adalah platform untuk rangkaian dan langkah membina hubungan berkekalan dengan visi teknologi ketahanan siber dan perintis perniagaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here