SUNGAI SIPUT, 19 April – Kerajaan Perak akan membangunkan projek tanaman bawang merah varieti BAW-1 di daerah Perak Tengah tahun ini, menyasarkan kawasan sekitar 40 hektar susulan kejayaan projek pertama tanaman bawang tempatan di Sungkai baru-baru ini

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata projek itu bakal dijayakan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Langkah ini kesinambungan daripada kejayaan projek pertama tanaman bawang tempatan di Sungkai baru-baru ini yang telah mengeluarkan hasil.

“Untuk projek ini pula, Perak SADC akan menyediakan tanah di Lambor iaitu satu daripada kawasan dalam Daerah Perak Tengah dan pada masa yang sama dibantu oleh pihak MARDI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Konvensyen Sungai Siput di sini, hari ini yang turut dihadiri lebih 3,000 masyarakat sekitar Parlimen Sungai Siput.

Zolkafly berkata pengeluaran hasil bawang melalui projek itu juga dijangka bakal memenuhi permintaan di negeri ini.

“Kita juga akan perluaskan projek ini ke daerah-daerah lain yang mempunyai kawasan yang bersesuaian dan matlamat kita adalah untuk menjadikan Perak sebagai hab pengeluaran bawang tempatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata cuaca panas dan fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini tidak menjejaskan pengeluaran hasil pertanian dan penternakan di Perak.

Setakat ini tiada sebarang laporan atau aduan daripada mana-mana petani atau penternak yang mengalami masalah berhubung keadaan cuaca itu. 

“Jika ada aduan berhubung masalah ini, saya minta para petani, penternak dan pihak berkaitan berhubung terus dengan jabatan atau agensi berkaitan supaya dapat ditangani dengan sewajarnya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here