HAIKOU, 19 April – China mempunyai jumlah penduduk antara tertinggi di dunia dan pasaran penggunaannya mempunyai daya tarikan besar, kata Penolong Pengerusi Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia (Promas), Datin Fan Shu Hua.

Beliau berkata Ekspo Barang Penggunaan Antarabangsa China (CICPE) menawarkan peluang kepada syarikat dari pelbagai negara untuk berkongsi peluang daripada pasaran gergasi itu. 

Fan sehubungan itu berharap lebih banyak syarikat Malaysia dapat memasuki pasaran China, memahami negara Tembok Besar itu selain bekerjasama dengan syarikat tempatan untuk mewujudkan pembangunan bersama.

Untuk rekod, CICPE edisi ke-4 sedang diadakan di Haikou, wilayah Hainan di selatan China. 

Sempena sambutan ulang tahun ke-50 terjalinnya hubungan diplomatik antara Republik Rakyat China dengan Malaysia pada tahun ini, Malaysia buat kali pertama menghantar rombongan negara untuk menyertai CICPE, melibatkan penyertaan 20 syarikat yang membawa 60 jenama.

Barang-barang yang dipamerkan termasuk makanan, produk penjagaan kesihatan, kraf tangan dan lain-lain.

Turut dipamerkan adalah durian, sarang burung walit dan kopi putih yang mendapat sambutan baik dalam kalangan pengunjung CICPE.

Mengulas lanjut Fan berkata syarikat Malaysia akan aktif menyertai beberapa ekspo yang akan diadakan di China tahun ini, antaranya Pameran Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan Antarabangsa Harbin, dan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE). 

“Promas akan membawa lebih banyak syarikat Malaysia datang ke China untuk lebih banyak kerjasama,” kata Fan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here