KUALA LUMPUR, 22 April – Sebanyak 193 syarikat telah dianugerahkan Status Digital Malaysia oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada suku pertama 2024.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata separuh daripada jumlah itu merupakan syarikat teknologi maklumat (infotech) yang memanfaatkan teknologi seperti blok rantai, Web3 dan kecerdasan buatan. 

“Kami juga baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman dengan prapemecut terkemuka di dunia, Universiti Draper, untuk menubuhkan pangkalan di Kuala Lumpur iaitu kampus pertamanya di luar Lembah Silikon. 

“Ini penting dalam menyokong dan menerajui perancangan modal teroka dan syarikat pemula yang ingin memasuki dan berkembang di Malaysia,” katanya dalam ucapan pembukaan pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak KL20 2024 di sini, hari ini.

Status Digital Malaysia dianugerahkan oleh MDEC kepada syarikat yang layak yang mengambil bahagian dalam mana-mana aktiviti MDEC dan ditawarkan set insentif, hak dan keistimewaan untuk membolehkan mereka beroperasi, berkembang dan melabur di negara ini.

Gobind berkata ekonomi digital Malaysia terbukti menjadi tonggak penting kepada ekonomi negara apabila menyumbang 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Malaysia memulakan perjalanan pendigitalan pada 1996. Kita telah, tanpa ragu-ragu, sudah mencapai kemajuan besar dalam membina ekonomi digital selama beberapa dekad,” katanya.

Sementara itu, Gobind berkata Malaysia kini menduduki tempat ke-20 dalam senarai World’s Strong Starters Ranking berdasarkan Laporan Ekosistem Pemula Niaga Global 2023 yang diterbitkan oleh Startup Genome.

Beliau berkata dianggarkan ekosistem pemula niaga Malaysia kini bernilai US$46 bilion (RM220 bilion) dan berkembang.

“Kami mempunyai lebih 3,000 syarikat pemula tempatan dalam ekosistem, beroperasi dalam pelbagai sektor, daripada teknologi kewangan dan e-dagang, kepada teknologi kesihatan dan kewangan Islam.

“Malaysia tidak sabar untuk menempa nama di rantau ini. Oleh itu, kerajaan ini menantikan jawatan pengerusi ASEAN pada tahun 2025. Kami sudah bersiap sedia untuk itu dan rancangan untuk libat urus di rantau ini sedang dijalankan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here