KUALA LUMPUR, 23 April – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan memperkenalkan Modal Teroka (VC) Golden Pass untuk menyelaraskan proses pendaftaran dengan SC bagi VC antarabangsa yang layak ditubuhkan di Malaysia.

Pengerusi SC Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata di bawah bidang kuasa ini, suruhanjaya itu akan memperkenalkan proses lorong hijau untuk mempercepatkan pendaftaran VC daripada enam minggu sekarang ini kepada dua minggu, tertakluk kepada pemenuhan keperluan yang ditetapkan di bawah rangka kerja Penilaian Skop Berfokus SC.

“Sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan komprehensif kami, kami ingin mengalu-alukan VC antarabangsa yang berpengalaman yang ingin mewujudkan kehadiran kukuh di Malaysia untuk memenuhi keperluan domestik dan serantau.

“Kami juga berbesar hati mengumumkan peningkatan proses tapisan ke arah pengeluaran pas pekerjaan yang lebih pantas bagi memudahkan penempatan semula kakitangan bukan warganegara Malaysia,” katanya semasa sesi pleno pada Sidang Kemuncak KL20 2024 di sini hari ini.

Sebagai sebahagian daripada komitmen SC untuk memupuk bakat dalam pasaran modal, suruhanjaya itu juga akan memperkenalkan program pembangunan kemahiran komprehensif yang disesuaikan dengan profesional dalam industri VC serta pasaran swasta Malaysia yang lebih luas.

“Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC), cabang pembangunan bakat SC, akan memperkenalkan pelbagai program pembinaan kapasiti,” tambahnya.

Sementara itu, Awang Adek menekankan SC berada di peringkat akhir untuk melancarkan pelan hala tuju 5 tahun bagi meningkatkan akses kepada pembiayaan pasaran modal untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat peringkat pertengahan (MTC).

“Pelan hala tuju itu mengandungi lebih 30 inisiatif, merangkumi tiga tonggak utama kawal selia termasuk inovasi produk, infrastruktur pasaran dan pembinaan kapasiti.

“Pelan tersebut mengambil pendekatan ‘pendekatan menyeluruh negara’ yang mana, ia menekankan keperluan usaha kolaboratif di kalangan pihak berkepentingan yang pelbagai untuk membuka potensi penuh PKS dan MTC sambil memupuk pertumbuhan serta pembangunan yang mampan,” katanya lagi.

Sidang Kemuncak KL20 2024 selama dua hari, yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Pelan Tindakan KL20, ianya menggariskan pembaharuan untuk mencapai penumpuan dalam kalangan pemegang kepentingan utama bagi memacu sektor teknologi pemula niaga Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here