MELAKA, 24 April – Penyedia semikonduktor terkemuka dunia dari China ATX Semiconductor Group berhasrat meningkatkan pelaburan kepada US$200 juta (RM952 juta) untuk kilang pembuatan baharunya di Melaka dalam tempoh lima tahun akan datang bagi pengembangan perniagaan fasa kedua.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Chris Hsu berkata syarikat itu telah melabur lebih US$55 juta (RM258 juta) dalam kemudahan pembuatan pertama kumpulan itu di luar China, di Zon Perdagangan Bebas III, Batu Berendam di sini.

Menurutnya pengeluaran ini dijangka bermula pada separuh pertama 2026.

“Kemudahan baharu itu telah memulakan aktiviti pembuatan dan akan meluaskan kapasiti pengeluaran untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan di Malaysia dan kawasan sekitarnya,” katanya pada sidang media selepas perasmian pembukaan ATX Semiconductor (Melaka) Sdn Bhd di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Nordin.

Sementara itu, Hsu turut menekankan potensi peluang pekerjaan dengan lebih 2,000 pekerjaan dijangka diwujudkan pada tahun akan datang.

Beliau turut menyentuh mengenai kesan positif terhadap ekonomi dan peluang pekerjaan di Melaka serta kemudahan pemindahan teknologi dan pembangunan bakat antara China dan Malaysia.

Hsu juga mengulas mengenai operasi teguh kumpulan ATX di China menerusi penyelesaian pembungkusan dan ujian, sambil menyatakan kemudahan baharu di Melaka akan memanfaatkan kepakaran ini.

“Pada masa ini, ATX menguruskan enam kilang pembuatan di seluruh dunia, dengan lima di China dan satu di Melaka.

“Kilang ini melambangkan bukan sahaja kemudahan ATX Semiconductor pertama di Malaysia, malah kilang pembuatan ATX yang pertama di luar China,” katanya.

Menurut Hsu, produk dan perkhidmatan ATX memberi perkhidmatan kepada pelbagai industri, termasuk komunikasi, automotif, pengguna, industri, pengkomputeran berprestasi tinggi dan sektor perubatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here