KOTA KINABALU, 25 April – Program pendataan digital yang masih dilaksanakan sejak September 2022 merekodkan seramai 39,276 pekerja asing dan bukan pemastautin di negeri itu, persidangan Dewan Undangan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata daripada jumlah itu seramai 21,994 orang terdiri daripada pekerja asing, manakala 17,282 orang terdiri daripada tanggungan pekerja terbabit.

Beliau berkata fasa permulaan program itu, yang dikendalikan anak syarikat kerajaan Sabah iaitu Smart Sabah Corporation Sdn Bhd, sedang fokus menjalankan pendataan digital dalam sektor perladangan dan pembinaan.

“Fasa permulaan tertumpu kepada dua sektor tersebut kerana mempunyai bilangan warga asing yang tertinggi dan permintaan tenaga kerja yang aktif dalam kategori 3D iaitu Dirty, Difficult and Dangerous. Program ini pastikan pekerja asing punya dokumen sah untuk bekerja di Sabah.

“Golongan warga asing ini didatakan berdasarkan matriks pendataan berpandukan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Ewon Benedick (PH-Kadamaian) mengenai status semasa program pendataan digital tersebut.

Nizam berkata warga asing melalui program ini didaftarkan dan didatakan secara digital melibatkan pengambilan maklumat peribadi, pengecaman wajah dan biometrik melalui Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah (SWIMS).

Beliau berkata setakat ini sebanyak lima syarikat perladangan terlibat sepenuhnya dalam program tersebut iaitu Kumpulan Sawit Kinabalu, Sabah Softwood Berhad, Benta Wawasan Sdn Bhd, FGV Plantations, dan Cepat Wawasan Group Berhad.

“Kerajaan negeri tidak akan sama sekali berkompromi terhadap isu keselamatan yang melibatkan pendatang haram di Sabah dan Jabatan Imigresen serta agensi penguatkuasaan akan sentiasa melaksanakan operasi penahanan kemudian pengusiran kumpulan ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata jumlah trafik merupakan antara ukuran utama dalam menentukan jajaran Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa 1 yang sedang dilaksanakan sekarang.

“Sememangnya kita ingin memasukkan keseluruhan Jalan Persekutuan di Sabah dalam projek ini tetapi Fasa 1 ini kita lihat jumlah trafik melalui Jalan Persekutuan dahulu, kita akan berusaha dalam Fasa 2 dan 3 untuk jaringan lebih luas terutama di kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Rubin Balang (GRS-Kemabong) mengenai perancangan kerajaan membawa jajaran projek itu ke kawasan pedalaman Sabah terutama jajaran Kimanis-Keningau-Nawawan-Kalabakan-Tawau.

Mengulas lanjut, Shahelmy berkata sememangnya terdapat perancangan membawa projek Lebuh Raya Pan Borneo ke jajaran pedalaman menerusi Fasa 3 projek, namun ia belum mempunyai peruntukan kewangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here