KOTA KINABALU, 25 April – Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (Kepkas) dalam proses persediaan akhir prosedur operasi standard (SOP) untuk Sabah-Malaysia My Second Home (SBH-MM2H) dijadual bermula bulan depan, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Menterinya Datuk Christine Liew berkata penyediaan SOP dengan rapi adalah bagi memastikan program SBH-MM2H akan lebih mudah dan mampu diadaptasi oleh pemohon selepas Jemaah Menteri telah meneliti dan meluluskan kriteria permohonan SBH-MM2H minggu lepas.

“Kementerian menjangkakan akan mula menerima permohonan untuk penyertaan program SBH-MM2H seawal penghujung bulan Mei tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Sabah atas ucapan dasar kerajaan negeri melibatkan kementeriannya pada persidangan itu.

Pada 17 April lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji berkata Kabinet telah meluluskan had umur pemohon kepada 30 tahun ke atas bagi progam SBH-MM2H, membenarkan peserta program menjual hartanah mereka selepas lima tahun dengan syarat mereka mesti membeli rumah baharu bernilai tidak kurang daripada RM600,000 dan ejen SBH-MM2H mestilah daripada syarikat tempatan Sabah.

Liew berkata kementerian juga akan mengadakan lawatan kerja ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan kedutaan negara-negara yang mempunyai nasihat perjalanan mengenai Sabah.

Beliau berkata ia bertujuan untuk meyakinkan kedutaan negara berkenaan bahawa Sabah adalah negeri yang selamat untuk warga mereka lawati khususnya di kawasan Pantai Timur kerana perkara itu membawa kesan langsung kepada kedatangan pelancong ke kawasan berkenaan.

“Kementerian telah mengemukakan pandangan dalam konteks dan perspektif serta impak kepada pelancongan negeri kepada pihak Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di bawah Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here