KUALA LUMPUR, 28 April – Produk pertanian yang sinonim dengan Perlis, mangga harumanis dan produk makanan berasaskan mangga antara tarikan utama pada penganjuran Agrofiesta 2024 yang berlangsung di sebuah pasar raya di sini. 

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memaklumkan lapan tan metrik harumanis dibawa khas dari Perlis sempena penganjuran program itu, selain produk industri makanan dan asas tani (IMAT) seperti aiskrim, tart dan pulut harumanis, coklat mangga serta mango shake.

“Agrofiesta 2024 menyediakan 30 lot jualan yang memberi manfaat kepada 17 usahawan. Program ini menyasarkan kehadiran pengunjung seramai 25,000 orang dengan nilai jualan usahawan sebanyak RM500,000 selama tiga hari,” menurut FAMA menerusi kenyataan di sini hari ini.

Majlis perasmian Agrofiesta 2024 telah disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Lokman Hakim Ali dan turut hadir ialah Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli serta Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri.

Selain harumanis, program yang berlangsung di AEON Alpha Angle Wangsa Maju selama tiga hari bermula Jumaat lepas, turut mengetengahkan produk pertanian lain seperti mangga sala, pomelo, nangka madu (J33), jagung manis dan pulasan. 

Penganjuran Agrofiesta 2024 yang menyediakan platform pasaran dan promosi kepada produk pertanian tempatan adalah selaras dengan peranan FAMA selaku agensi peneraju utama pemasaran produk agromakanan, selain memperluaskan saiz pasaran bagi memastikan produk pertanian dan IMAT mudah diperoleh. 

“Agrofiesta 2024 juga merupakan platform bagi memberi pendedahan kepada usahawan ke arah mempertingkatkan tahap keusahawanan dan daya saing serta menarik minat usahawan muda menceburi bidang pemasaran berasaskan pertanian.

“Walaupun trend usahawan hari ini lebih ke arah pendigitalan, program jualan dan promosi secara fizikal atau secara langsung juga tidak dinafikan mampu memberikan impak lebih tinggi dari segi penerimaan dan keyakinan pelanggan kerana boleh berkomunikasi terus dengan usahawan,” menurut kenyataan itu. 

Program kali ini turut menawarkan baucar sebanyak RM11,000 kepada pengguna aplikasi platform Agrobazaar Online yang boleh menebus baucar bernilai RM10 bagi setiap pembelian berjumlah RM30 ke atas. 

Pelbagai aktiviti dan hadiah menarik juga disediakan seperti persembahan kumpulan busker, kahoot games, teka jenis buah, kuiz dan pertandingan mewarna kanak-kanak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here