RIYADH, 29 April – Malaysia sedia menerajui usaha bagi mengeratkan hubungan dalam kalangan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Nasional di Negara Anggota Bank Pembangunan Islam (ADFIMI) selain meninjau perkongsian strategik dua hala atau pelbagai hala yang menangani isu keterjaminan makanan serantau.

Naib Pengerusi ADFIMI Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata walaupun kalangan negara anggota saling berusaha meleraikan isu keterjaminan  makanan, mereka sebaliknya tidak boleh mengabaikan keseimbangan kritikal antara aktiviti pengeluaran makanan dan penggunaan sumber semula jadi.

“Aspek kelestarian dalam pertanian adalah penting kerana kita perlu menangani permintaan segera dan ketersediaan makanan, selain mempertimbang kesan jangka panjang aktiviti pertanian terhadap sumber semula jadi dan kesihatan planet ini.

“Perubahan iklim, tanah yang kian merosot dan kekurangan air adalah cabaran yang memberi kesan ke atas kita pada masa ini dan akan terus buruk kecuali kita serius dalam menangani isu bagi menghasilkan makanan secara mampan,” katanya berucap pada perasmian mesyuarat Perhimpunan Agung ADFIMI kali ke-41 yang diadakan bersempena Mesyuarat Tahunan dan Sambutan Jubli Emas Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IsDB) 2024 di sini, hari ini.

Tengku Ahmad Badli Shah yang juga Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, telah dipilih semula sebagai naib pengerusi ADFIMI bagi tempoh 2025-2027.

Menjelaskan selanjutnya, beliau berkata perubahan iklim yang dapat dilihat dan dirasai menerusi peningkatan suhu dan kejadian cuaca melampau secara lebih kerap seperti kejadian kemarau dan banjir.

Bagi menanganinya, negara anggota perlu menumpukan usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menggalakkan amalan pertanian pintar iklim seperti pertanian pemuliharaan, pengurusan tanah lestari dan penggunaan teknologi pertanian yang menggalakkan penggunaan sumber secara cekap.

Menyentuh kewangan Islam, beliau berkata aspek ini boleh mengetengahkan penyelesaian pembiayaan unik yang dapat menyokong pertanian serta jaminan makanan yang mampan.

Selain itu, katanya, kalangan anggota ADFIMI berkongsi komitmen bersama untuk menggalakkan kewangan Islam dan meningkatkan akses kepada perusahaan kecil dan sederhana.

“Kita boleh memanfaatkan komitmen ini dalam usaha mewujudkan model pembiayaan inovatif yang menyokong projek pertanian dan keterjaminan makanan mampan seperti sistem pengairan, kemudahan penyimpanan dan pemprosesan bercirikan nilai tambah.

“Sebagai contoh di Malaysia, Agrobank bakal melancarkan program takaful tanaman berasaskan pertanian yang juga pertama seumpamanya di Malaysia untuk memberi perlindungan asas kepada komuniti pertanian daripada kerugian, terutama dari segi bencana alam.

“Buat permulaan, skim ini akan ditawarkan terlebih dahulu kepada subsektor padi sebelum diperluas kepada subsektor lain. Selain pembiayaan, kita juga perlu memberi tumpuan kepada usaha pembangunan kapasiti sektor pertanian,” katanya.

Ini termasuk pelaburan dalam program pendidikan dan latihan bagi membangunkan kemahiran dan pengetahuan kalangan petani serta mempromosi penggunaan teknologi dan amalan moden yang berpatutan.

Pada masa sama, Tengku Ahmad Badli Shah menggesa kalangan anggota ADFIMI untuk turut terbabit dalam kerjasama dan perkongsian lebih strategik bagi merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan PBB (UNSDG), menggalakkan keterangkuman selain melindungi golongan berpendapatan rendah.

ADFIMI mula beroperasi pada September 1987 di Istanbul, Turkiye dan pada masa ini dianggotai oleh 42 negara termasuk Arab Saudi, Turkiye, Yaman, Uganda, Sudan, Pakistan, Oman, Malaysia, Iran, Indonesia, Bangladesh dan Cameroon.

Penubuhannya bertujuan meningkatkan keberkesanan institusi kewangan pembangunan dan bank-bank dengan menyediakan ahli-ahli terhadap peluang bekerjasama selain membangunkan aspek kepakaran, saling bertukar idea dan pengalaman yang bermanfaat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here