KUALA LUMPUR, 29 April – Kementerian Perpaduan Negara akan melancarkan Pelan Tindakan Pendidikan dan Penghayatan Rukun Negara yang lebih khusus selaras dengan Dasar Perpaduan Negara 2021-2030 pada bulan Ogos ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata ia adalah pelan tindakan yang akan menggariskan modus operandi terancang melibatkan Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, dan Kementerian Komunikasi.

“Setakat ini program dilaksanakan sangat terhad dan tiada strategi spesifik yang tersusun, oleh itu dengan adanya pelan ini ia diharap dapat merancang dan menyusun program lebih berstrategi dan dinamik.

“Pelan ini antaranya menyentuh seluruh kelompok pendidikan iaitu bermula dengan pendidikan awal di peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan seterusnya di peringkat universiti,” katanya ketika ditemui selepas berucap pada Forum Sejahtera Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir pada forum ini ialah Presiden KSI Strategic Institute for Asia Pacific Tan Sri Michael Yeoh dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Kumpulan UCSI Datuk Peter Ng.

Aaron berkata usaha penghayatan Rukun Negara akan terus diperluaskan lagi.

“Kita berhasrat untuk mengembangkan lagi pembacaan Rukun Negara kepada seluruh negeri termasuk di setiap kali pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri, dan perkara ini turut disentuh secara terperinci dalam pelan tindakan berkenaan.

Beliau berkata lima prinsip Rukun Negara bukan sahaja sepatutnya dihafal dan dihayati, tetapi perlu diamalkan dalam kalangan masyarakat pelbagai budaya negara, demi perpaduan yang lebih erat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here