KUALA LUMPUR, 4 Mei — Individu yang menyentuh isu 3R iaitu raja, agama dan kaum wajar dikenakan tindakan tegas kerana perbuatan tersebut amat serius dan boleh menggugat keharmonian serta perpaduan rakyat negara ini, menurut ahli akademik.

Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata tidak timbul isu pendakwaan kes berkenaan dijadikan sebagai satu ‘senjata politik’ sebaliknya tindakan undang-undang perlu diambil bagi menjamin kestabilan negara dan menghormati institusi diraja.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatiannya, ramai yang semakin berani mengeluarkan kenyataan sensitif berhubung 3R yang jika tidak dibendung akan mencetuskan perbalahan dalam kalangan masyarakat.

“Mungkin sudah tiba masanya kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memikirkan keperluan untuk mewujudkan akta khusus 3R bagi membendung kenyataan-kenyataan berbaur hasutan yang nampaknya tidak berkesudahan,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu Mujibu berkata sudah tiba masanya ahli politik di negara ini bersaing secara sihat dan matang tanpa menggunakan isu 3R untuk meraih sokongan.

“Politik adalah saingan idea dan penawaran alternatif bagi memperoleh kesempurnaan bukannya politik secara machiavellian,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here