KOTA KINABALU, 7 Mei – Kerajaan Sabah menghargai peranan dan kerjasama media terutama dalam memberi laporan berkaitan segala usaha yang telah, sedang dan akan diambil kerajaan di negeri itu, termasuk Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Sehubungan itu, beliau meminta pengamal media di negeri ini terus memberi sokongan dan membantu dalam melaporkan program yang dilaksanakan kerajaan, agar dapat diketahui oleh rakyat di peringkat akar umbi.

Hajiji berkata sebagai tanda sokongan berterusan dan menghargai sumbangan media di Sabah, pada tahun 2022 jumlah sumbangan kerajaan negeri untuk Anugerah Kewartawanan Kinabalu ditingkatkan kepada RM100,000 daripada RM60,000 sebelum ini, dan jumlah itu akan diteruskan untuk tahun ini.

“Peningkatan sumbangan ini juga, merupakan pengiktirafan kerajaan negeri kepada media sebagai rakan kongsi yang penting dalam menyebarkan dasar dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri,” katanya berucap pada Majlis Aidilfitri Ketua Menteri Bersama Media 2024, di sini malam ini.

Hajiji berkata media turut memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan rakyat dan negeri.

“Menerusi laporan media ia kadangkala menjadi antara sumber maklumat kepada kerajaan untuk mengetahui apa yang berlaku di peringkat akar umbi, selain rintihan rakyat.

“Saya juga meminta media supaya mengamalkan sikap bertanggungjawab, profesional dan beretika, dalam menyampaikan laporan agar rakyat tidak keliru hingga menimbulkan rasa bimbang,” katanya.

Oleh itu, Hajiji menggesa media arus perdana supaya menyediakan berita yang tepat dan berfakta, bagi menangkis pelbagai berita palsu yang dilaporkan di media sosial.

Sementara itu Ketua Menteri berkata majlis itu adalah sebagai tanda terima kasih dan menghargai peranan penting pengamal media sama ada media cetak, elektronik dan portal, dalam membuat liputan program-program dan aktiviti anjuran kerajaan negeri.

Pada majlis itu, turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM100,000 untuk penganjuran Anugerah Kewartawanan Kinabalu 2024 kepada Presiden Persatuan Wartawan Sabah Datuk Muguntan Vanar.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sabah Datuk Seri Safar Untong; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharram; dan Pengarah Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri Datuk Lucy Irene Yong.

Majlis itu juga dihadiri lebih 250 pengamal media di Sabah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here