PUTRAJAYA, 7 Mei – Malaysia dan Senegal menzahirkan rasa gembira dengan hubungan baik dan mesra antara kedua-dua negara serta bersetuju untuk bekerjasama erat bagi memperdalam kerjasama demi kepentingan bersama, menurut Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Luar atau Wisma Putra berkata bidang yang dikenal pasti bagi kerjasama itu termasuk perdagangan, pertanian, pendidikan, tenaga boleh diperbaharui, industri halal, kewangan Islam, wakaf dan zakat, penjagaan kesihatan dan pendigitalan.

Menurut kenyataan itu, perjanjian berkenaan adalah hasil perbincangan antara Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dengan rakan sejawatnya, Yassine Fall semasa lawatan rasmi dua hari ke Senegal yang berakhir pada Selasa.

“…lawatan pertama ke Senegal oleh Menteri Luar Malaysia sejak Malaysia dan Senegal menjalinkan hubungan diplomatik pada 1986,” menurut kenyataan itu. 

Kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Senegal serta isu global yang menjadi perhatian bersama, menurut kenyataan itu lagi. 

“Menteri Luar juga telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Senegal Bassirou Diomaye Diakhar Faye. Pertemuan tersebut memberikan peluang untuk mengulangi komitmen Malaysia dalam mengukuhkan ikatan persahabatan di antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu. 

Menurut Wisma Putra, Mohamad turut berkesempatan untuk bertemu dengan diaspora Malaysia di Dakar serta alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). 

Kenyataan itu menyatakan bahawa lawatan Mohamad ke Senegal menegaskan komitmen Malaysia untuk mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan Senegal serta memajukan kerjasama antara kedua negara di forum pelbagai hala.

Ia juga membuka peluang untuk memperluas kerjasama antara kedua-dua negara dalam tahun-tahun akan datang.

Pada 2023, Senegal merupakan rakan dagang ke-15 terbesar Malaysia di Afrika dengan nilai dagangan bernilai RM1.04 bilion (US$227.49 juta). Ini merupakan peningkatan 16 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2022, menurut Wisma Putra.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here