KUCHING, 8 Mei – Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-undang Pihak Berkuasa Pelabuhan Sarawak bagi menubuhkan sebuah Lembaga Pelabuhan Berpusat khusus untuk mengurus, menyelia, mengawal dan mentadbir semua pelabuhan di Sarawak.

Rang Undang-undang yang dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Negeri Datuk Amar Douglas Uggah Embas itu diluluskan selepas 20 Ahli Dewan Undangan Negeri mengambil bahagian dalam sesi perdebatan.

Dalam pembentangannya Uggah berkata Sarawak baru-baru ini menikmati pembangunan ekonomi yang besar, dengan pembangunan pelabuhan memainkan peranan amat penting, dan ia perlu melalui transformasi melibatkan pembangunan sebuah lembaga pelabuhan berpusat.

“Penyepaduan pihak berkuasa pelabuhan Sarawak menjadi sebuah lembaga pelabuhan berpusat boleh membawa kepada peningkatan kecekapan. Lembaga Pelabuan Berpusat itu boleh menyelaras operasi, menghapuskan kelewahan (redundancy) dan melaksanakan dasar seragam yang merentas semua pelabuhan.

“Ini boleh membawa kepada penggunaan sumber yang lebih cekap, masa pemulihan yang lebih pantas dan mengurangkan kos operasi,” katanya.

Uggah berkata dengan penubuhan sebuah badan pusat, perancangan strategik boleh menjadi lebih selaras dan komprehensif, dengan mengambil kira keperluan pembangunan seluruh wilayah berbanding pelabuhan individu.

“Penubuhan Lembaga Pelabuhan Berpusat baharu itu akan menggantikan semua Lembaga Pelabuhan sedia ada di negeri ini. Rang Undang-undang ini apabila diluluskan juga akan menggantikan undang-undang lama pra-Malaysia, Ordinan Pihak Berkuasa Pelabuhan 1961,” tambahnya.

Semasa membahaskan rang undang-undang itu Fazzrudin Abdul Rahman (GPS-Tupong) berkata untuk mencapai kecekapan maksimum, adalah penting untuk memastikan infrastruktur dan sistem pelabuhan Sarawak adalah berkualiti tinggi.

“Operasi yang kukuh dan cekap akan memupuk keyakinan yang diperlukan untuk menarik pelaburan dalam sistem pengeluaran dan pengedaran, menyokong pertumbuhan pembuatan dan logistik, sekali gus mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan tahap pendapatan rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here