BATU KAWAN, 8 Mei – Industri semikonduktor menawarkan peluang ‘hanya sekali dalam satu generasi’ kepada Malaysia untuk pertumbuhan ekonomi eksponen, justeru pemain industri dinasihatkan untuk memanfaatkan sektor berbilion dolar ini.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata kerajaan sedang menumpukan perhatian kepada industri semikonduktor, menandakan setara dengan minyak, dengan nilai global dianggarkan sebanyak US$580 bilion tahun ini dan diunjur mencecah US$1 trilion menjelang 2030. (US$1 = RM4.74).

“Segala aspek kehidupan kita semakin berkaitan dengan semikonduktor, sama ada telefon, kereta atau bandar pintar.

“Kami yakin Pulau Pinang, Kulim, dan Malaysia secara umumnya melaksanakan peranan penting dalam sektor ini,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian gudang automatik Lam Research di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Sementara itu, Liew turut menegaskan keperluan kepada usaha kolaboratif untuk mewujudkan rantaian bekalan semikonduktor yang dinamik, selamat dan berdaya tahan di Malaysia.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kementerian menetapkan pelan strategik untuk industri semikonduktor.

Sehubungan itu, Liew menggalakkan pemain industri untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi luar biasa bagi pengeluaran semikonduktor.

Sementara itu, Lam Research Corp selaku pembekal global peralatan dan perkhidmatan fabrikasi wafer inovatif kepada industri semikonduktor, dan tersenarai di Nasdaq, secara rasminya membuka gudang automatik baharunya hari ini.

Kemudahan itu melengkapkan operasi pembuatan Lam di Malaysia, sebagai lokasi kepada kemudahan pembuatan terbesar syarikat itu.

Pengurus besar Lam Manufacturing Malaysia (LMM), Eng Keat Lee berkongsi ciri termaju gudang itu, antaranya sistem logistik automatik yang mampu menghantar beribu-ribu alat ganti setiap hari, sembilan kali lebih pantas berbanding kaedah konvensional bagi menyokong operasi pembuatan yang berdekatan.

“Kami gembira dalam mempertingkat kemudahan pembuatan Lam yang terbesar dan paling inovatif menerusi pembukaan gudang automatik terbaharu kami di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata kemudahan itu menawarkan beberapa penyelesaian automatik, antaranya sistem penyimpanan dan dapatan semula automatik (ASRS) terbesar di Malaysia, yang diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai kapasiti tong penyimpanan ASRS terbesar di negara ini.

Selain itu, gudang itu dilengkapi dengan robot mudah alih autonomi dan kenderaan berpandu automatik untuk memperkemas tugas yang berulangan dan mengambil masa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here