PUTRAJAYA, 10 Mei – Kelulusan permohonan lesen tenaga atom akan diberikan tempoh maksimum tiga tahun kepada semua pemohon yang memenuhi kriteria ditetapkan berkuat kuasa Jun ini, menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Kementerian itu dalam kenyataan menyebut sebelum ini, kelulusan permohonan lesen diberi untuk tempoh satu, dua atau tiga tahun.

“Inisiatif ini diharap dapat merancakkan perkembangan industri nuklear dan meningkatkan pelaburan dalam negara di samping menyediakan jaminan pekerjaan yang berterusan kepada rakyat serta dapat menjana hasil atau pendapatan negara dengan lebih cepat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut kerajaan juga sedang meminda Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) bagi memanjangkan tempoh kelulusan permohonan lesen melebihi tiga tahun. 

Menurut kenyataan itu MOSTI akan memastikan pindaan Akta 304 dapat disegerakan dan diwartakan pada awal tahun depan.

“Ini untuk menarik minat pelabur dan industri nuklear berteknologi tinggi ke negara ini di samping memastikan aspek keselamatan, sekuriti dan kawal gunaan aktiviti tenaga atom menjadi keutamaan Jabatan Tenaga Atom Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Sehingga kini, jumlah pemegang lesen di bawah Akta 304 bagi sektor industri berjumlah 1,810 syarikat manakala sektor perubatan 5,164 syarikat dan ia dijangka meningkat melalui pelbagai inisiatif menarik yang disediakan kerajaan.

Kenyataan itu turut memaklumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang hari ini merasmikan Pusat Simulasi Tindakbalas Nuklear di Ibu Pejabat Jabatan Tenaga Atom di Dengkil, Selangor.

“Pembangunan Pusat Simulasi Tindakbalas Nuklear ini bertujuan untuk memperkukuh kompetensi dan kecekapan anggota Pasukan Tindak Balas Nuklear (PTN) Jabatan Tenaga Atom,” menurut MOSTI.

Pusat berkenaan akan digunakan sebagai pusat latihan bagi agensi barisan hadapan antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here