KOTA BHARU, 10 Mei – Permintaan untuk ternakan lembu di Kelantan dijangka mencecah lebih 30,000 ekor bagi tujuan ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Agromakanan dan Komoditi negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Beliau berkata hal itu berikutan harga jualan bagi seekor lembu sedikit menurun berbanding sebelum ini dan lebih stabil sejak sebulan lepas, selain didorong permintaan dari negeri-negeri lain.

“Sebagai pengeluar lembu hibrid terbesar, Kelantan akan terus memperkasakan industri penternakan dan menjadikan negeri ini sebagai hab pembekal lembu utama negara, malah kebanyakan ternakan lembu di Kelantan juga diimport daripada selatan Thailand,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Veterinar Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Mohd Saripudin berkata setakat ini pihaknya hanya membawa masuk lembu dari Thailand walaupun ada tawaran dari negara lain seperti Vietnam dan Kemboja, kerana mahu memastikan ternakan tersebut bebas penyakit sebelum melalui proses saringan dan kuarantin.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerja-kerja penanaman padi untuk musim satu 2024 akan bermula pertengahan bulan depan selepas beberapa langkah persediaan dilaksanakan, termasuk penyediaan pam yang lebih berkuasa tinggi.

“Proses penanaman akan dilakukan secara berperingkat bermula dengan jajahan Pasir Mas berdasarkan jadual yang telah ditetapkan selain berpandukan bekalan sumber air di kawasan tanaman.

“Malah, bagi petani yang terjejas dengan kemarau pada musim lepas akan menerima bantuan sewajarnya daripada agensi berkaitan melalui tabung bencana yang disediakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here