BANTING, 14 Mei – Kementerian Perpaduan Negara memperuntukkan RM20 juta bagi memperkasakan Rukun Tetangga (RT) menerusi Inisiatif Pemerkasaan RT Sebagai Penggerak Komuniti Progresif yang dilancarkan hari ini.

Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata inisiatif berkenaan memfokuskan lapan bidang merangkumi ekonomi dan sara hidup, keselamatan dan ketahanan komuniti, kepimpinan, kesejahteraan komuniti, pembelajaran sepanjang hayat, alam sekitar, warisan dan budaya serta daya cipta.

Beliau berkata sebanyak 116 daripada 8,438 RT di seluruh negara telah dikenal pasti untuk dijadikan sebagai perintis Model RT Progresif fasa pertama yang akan bermula selepas pelancaran berkenaan. 

“Sejak penubuhan RT pada 1975, peranannya sebagai pemacu agenda perpaduan dan keselamatan dalam komuniti telah terbukti memberi impak yang signifikan kepada negara. 

“Pencapaian RT dapat dilihat bukan sahaja dalam aspek penyatuan masyarakat, tetapi juga telah mengorak langkah lebih jauh ke hadapan terutamanya dalam aspek pembangunan komuniti,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu di sini hari ini. 

Menerusi inisiatif itu, Aaron berkata RM11.073 juta peruntukan difokuskan kepada bidang ekonomi dan sara hidup serta keselamatan dan ketahanan komuniti. 

Beliau berkata sebanyak RM2.612 juta diperuntuk kepada pemerkasaan bidang pembelajaran sepanjang hayat manakala RM4 juta diperuntuk bagi lima bidang lain.

“Melalui usaha ini, peranan RT akan diperkasa sebagai penghubung penting dalam komuniti melalui peningkatan keupayaan dan kerjasama strategik,” katanya.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here