KUANTAN, 14 Mei – Lima individu dinamakan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini hari ini. 

Mereka ialah Pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan Pekan Datuk Ahmad Irshad Abdullah Al-Qardi, Ketua MCA Bahagian Temerloh Datuk Wong Tat Chee, Ketua UMNO Bahagian Jerantut Haris Salleh Hamzah, Pengerusi Amanah Pahang Mohd Fadzli Mohd Ramly dan Timbalan Pengerusi PKR Pahang Rizal Jamin. 

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pemilihan ADUN lantikan itu mengambil kira latar belakang keluarga, pendidikan, pengalaman, pencapaian kerjaya dan komitmen dalam khidmat bakti kepada masyarakat. 

“Selain itu, pelantikan ini berdasarkan kepada beberapa pertimbangan antaranya meluaskan perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat terutama dalam situasi politik dan sosial ekonomi yang mencabar,” katanya ketika mengemukakan usul pelantikan ADUN berkenaan. 

Mengulas lanjut, beliau berkata mereka yang dilantik juga berkaliber dan berkemahiran tertentu yang dilihat dapat bersama ADUN lain untuk menyumbang pekhidmatan terbaik kepada rakyat. 

“Saya percaya lantikan ini dapat membantu mencapai misi dan visi kerajaan dalam memberikan perkhidmatan cekap dan berkesan kepada rakyat,” katanya. 

Usul berkenaan kemudiannya diluluskan selepas mendapat sokongan tujuh ADUN dan majoriti mudah. 

Pada Nov 2020, DUN Pahang telah meluluskan usul untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi melantik lima ADUN, tanpa melalui proses pilihan raya.

Sementara itu, Speaker DUN Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin ketika sidang media berkata tempoh lantikan ADUN terlibat adalah hingga akhir penggal ke-15 ini. 

“Mereka akan mengangkat sumpah pada persidangan DUN akan datang yang dijadualkan pada Ogos depan. ADUN yang dilantik boleh mengundi dan berbahas ketika persidangan,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here