IPOH, 17 Mei – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan 302 perjawatan berstatus kontrak melibatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di pelbagai peringkat.

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed berkata kelulusan itu juga turut mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan (MOF).

“Sebelum ini, APM telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pihak JPA berhubung permohonan perjawatan ini sama ada diberikan secara kontrak mahupun tetap.

“Namun, selepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri memberikan respons terhadap perkara ini, pihak JPA telah memaklumkan kepada kami bahawa kelulusan telah diberikan terhadap perjawatan tersebut secara kontrak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Watikan Pelantikan Pegawai Kehormat serta Penganugerahan Reben Perkhidmatan dan Kecemerlangan APM Perak 2024 di sini malam tadi.

Pada 5 Mac lepas, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata status permohonan bagi perjawatan tetap dan kontrak anggota APM akan diumumkan oleh JPA dalam masa terdekat.

Aminurrahim berkata kelulusan yang diberikan terhadap perjawatan itu dilihat amat penting dalam meningkatkan keupayaan serta memastikan kebajikan anggota APM terbela.

“Perjawatan kontrak yang diluluskan ini juga dianggap relevan kerana buat masa ini kerajaan masih dalam proses kajian terhadap skim baharu melibatkan pelantikan ke perjawatan tetap.

“Jadi, ia mungkin mengambil sedikit masa dan kerajaan pada waktu ini juga amat berhati-hati selain meneliti secara terperinci sebelum sesuatu perjawatan tetap itu diluluskan,” katanya.

Sementara itu, Aminurrahim berkata tiada sebarang pengurangan dibuat terhadap sesi latihan bagi anggota APM dalam berdepan Monsun Barat Daya (MBD) namun pihaknya tidak mengabaikan aspek keselamatan.

Beliau berkata sesi latihan dijalankan juga akan mengambil kira faktor lokasi, cuaca dan waktu bagi memastikan tiada perkara luar jangkaan berlaku kepada anggota APM.

“…kita ada petunjuk prestasi utama (KPI) dan perlu berada dalam keadaan siap siaga berdepan MBD, cuma bentuk latihan itu perlu bersesuaian dan mengambil kira faktor lokasi, cuaca dan waktu.

Kami juga dinasihatkan dan telah diberikan taklimat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk berhati-hati dalam latihan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here