PUTRAJAYA, 18 Mei – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) meraih anugerah bagi kategori telekomunikasi untuk Sistem Pengurusan Permit Infrastruktur Komunikasi (CIPM) pada Anugerah Kecemerlangan Geospatial Dunia 2024 di Rotterdam, Belanda baru-baru ini.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata pencapaian itu membuktikan keupayaan Malaysia sebagai peneraju dalam inovasi teknologi selain menetapkan penanda aras baharu bagi industri telekomunikasi global. 

“Pengiktirafan yang diterima pada Anugerah Kecemerlangan Geospatial Dunia adalah bukti kepada komitmen MCMC dalam memacu kemajuan dan kecemerlangan menerusi digitalisasi dan inovasi,” menurut kenyataan itu.

Forum Dunia Geospatial 2024 selama empat hari bermula 13 Mei lepas mengiktiraf dan meraikan kemajuan global dalam teknologi geospatial yang mengetengahkan penggunaan secara inovatif data berkaitan lokasi.

Menurut MCMC, CIPM adalah satu aplikasi penyelesaian proses pengurusan permit yang dibangunkan suruhanjaya yang memberi impak yang besar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemain industri telekomunikasi. 

— LAGI

MCMC-ANUGERAH 2 (AKHIR) PUTRAJAYA

“Sistem perintis ini menguruskan lebih 31,000 struktur komunikasi mudah alih di seluruh Malaysia dan kini giat digunakan oleh lebih 1,300 pengguna daripada 110 PBT dan penyedia kemudahan rangkaian,” menurut kenyataan itu.

CIPM telah mentransformasikan industri telekomunikasi dengan menghapuskan ketidakcekapan, halangan birokrasi dan proses meluluskan permit secara konvensional yang memakan masa.

“CIPM menyumbang kepada pengurangan signifikan proses kelulusan daripada 90 hari kepada hanya 14 hari,” menurut MCMC.

MCMC berkata CIPM mengendalikan lebih 16,000 transaksi permit secara tahunan dan menjana pendapatan RM31 juta untuk PBT.

“Sistem yang inovatif ini bukan sahaja mempertingkat keberkesanan operasi bahkan juga meningkatkan tahap pematuhan peraturan oleh pemain industri,” menurutnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here