GEORGE TOWN, 23 Mei – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil inisiatif dengan membangunkan sistem PeTIS (Penang Tree Inventory System) bagi menyimpan data inventori pokok di bawah kawasan pentadbirannya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H’ng Mooi Lye berkata sistem itu berupaya meningkatkan keberkesanan pengurusan pokok, selain mengenal pasti koordinat spesies pokok yang berpotensi besar untuk patah atau tumbang seterusnya membolehkan tindakan secara bersasar dan segera diambil.

“Sistem ini menyimpan data seperti jenis, lokasi, saiz dan status kesihatan pokok serta keperluan penyelenggaraan pokok. 

“Dianggarkan sebanyak 40,000 pokok di bawah pentadbiran MBPP dan setakat ini, sebanyak 15,848 pokok di tepi jalan dan tanah lapang yang mempunyai ukur lilit 0.8 meter (m) dan ke atas telah diuruskan dalam inventori dan disimpan dalam sistem terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

H’ng berkata pada masa sama, MBPP turut menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan pokok secara berkala setiap tahun mengikut teknik amalan arborikultur.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 561 daripada 1,195 pokok di sekitar bahagian pulau negeri ini telah dibuat penilaian risiko oleh MBPP dan laporannya dijangka siap sepenuhnya hujung bulan depan.

Selain itu katanya, MBPP turut melantik kontraktor mempunyai kepakaran untuk melakukan penilaian risiko serta penyelenggaraan pokok di lima jalan iaitu Jalan Macalister, Jalan Utama, Jalan Burmah, Jalan Kelawai dan Jalan Perak. 

“Berdasarkan semakan awal, sebanyak 131 pokok dikategorikan sebagai tidak sihat dan perlu dilaksanakan risiko pokok tahap ketiga. Penggunaan alat Piscus Sonic Tomograph dan Resistograph akan digunakan bagi mengenal pasti tahap pereputan dalam batang pokok.

“Terdapat sebanyak 314 pokok besar berusia lebih 90 tahun masih berdiri megah dalam kawasan pentadbiran MBPP dan pemeriksaan struktur dalaman batang pokok perlu dilakukan bagi menjamin keselamatan awam,” katanya.

Dalam pada itu, H’ng berkata pihaknya mengambil serius kejadian pokok tumbang dan dahan patah yang sering berlaku terutama ketika hujan lebat baru-baru ini sehingga menimbulkan isu keselamatan kepada orang awam. 

Sehubungan dengan itu, beliau telah mengarahkan MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk mengemukakan laporan siasatan dan pemantauan terhadap pokok besar, berusia dan berbahaya dalam kawasan pentadbiran masing-masing.

Sementara itu, H’ng berkata bagi kawasan Seberang Perai dianggarkan terdapat 115,706 pokok dengan 96,586 daripadanya telah dibuat pemeriksaan dan penandaan di tapak.

“Bagi 2024, sejumlah 23 pokok dikenal pasti sebagai pokok risiko dan lapan pokok telah ditebang, manakala baki 15 pokok lagi akan ditebang dalam masa terdekat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here