PUTRAJAYA, 23 Mei – Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam peringkat akhir meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 sebelum ia dibentangkan di Parlimen, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata input pindaan akan dibentangkan dahulu pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 11 Jun ini.

“Mesyuarat Jemaah Menteri beberapa minggu lepas bersetuju bahawa satu sahaja lagi fasa untuk mengharmonikan beberapa peruntukan dalam rang undang-undang (RUU) itu, yang memerlukan KDN dan Kementerian Kesihatan berbincang (lanjut),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Saifuddin berkata Pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 itu akan memberikan impak besar kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam menunaikan tanggungjawab mereka, dengan perkara utama ditekankan adalah berkaitan kesalahan memasukkan bahan terlarang ke dalam badan.

“Kalau mengikut amalan sekarang, tanpa kita buat pindaan itu, ia akan membawa tugas tambahan kepada polis. (Contohnya) kena buka IP (kertas siasatan) dan kemudian berakhir dengan pertuduhan di mahkamah kemudian ke penjara. (Jadi) penjara sesak, kes mahkamah jadi bertambah dan tugas polis buka IP pun banyak,” katanya.

Beliau berkata apabila ada elemen dekriminalisasi nanti, satu kaedah baharu ditampilkan dengan mereka yang terbabit dengan dadah boleh terus diberi peluang menjalani rawatan terutama membabitkan kes yang mereka datang secara sukarela ke pusat pemulihan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here