SUNGAI PETANI, 23 Mei – Lebih 3,000 peluang pekerjaan bakal ditawarkan menerusi pelaksanaan projek pembangunan pusat komersial di sini.

Projek berkenaan adalah hasil kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan TG (Thong Guan) Development Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Operasi PKNK Anita Salleh berkata pusat komersial tersebut dirancang dengan menggabungkan tiga komponen utama iaitu perniagaan, hospitaliti serta kedai makanan dan minuman.

“Ia akan dibangunkan di atas tanah milik PKNK berkeluasan 8.1 hektar dan menjadi pemangkin dalam memacu pembangunan ekonomi di negeri Kedah.

“Nilai pembangunan kasar (GDV) bagi projek ini ialah sebanyak RM200 juta dan menyediakan lebih 3,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran awal, The Court Business Centre’, di sini, hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Anita berkata projek berkenaan akan menjadi pelengkap kepada pembangunan di Bandar Amanjaya di sini dengan menawarkan ruang perniagaan yang akan memberi sokongan kepada persekitaran berdaya huni.

“Pembangunan teknikal akan bermula pada suku ketiga tahun ini dan dijangka akan siap sepenuhnya pada suku ketiga 2029. Kerjasama ini membuktikan bahawa segala sumber yang ada boleh digembleng untuk dijadikan wadah bagi memacu pembangunan ekonomi di Kedah,” katanya.

Menurutnya, usaha PKNK dalam memacu pembangunan di Kedah telah bermula sejak 1985 dan sehingga kini, sebanyak sembilan kawasan perindustrian telah dibangunkan perbadanan itu dengan keluasan kawasan melebihi 4,046 hektar.

“Kesemua kawasan perindustrian ini telah membantu menyediakan lebih 180,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah TG Development Alvin Ang berkata menerusi projek tersebut sebanyak 221 lot kedai dan pejabat akan dibangunan membabitkan empat fasa yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Fasa pertama melibatkan 63 unit kedai dan pejabat, dijangka siap dalam tempoh 18 bulan hingga dua tahun…diikuti tiga fasa lain.

“Kawasan pembangunan sangat strategik. Saya berharap ia akan dapat menjana limpahan ekonomi kepada penduduk kawasan sekitarnya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here