KUALA LUMPUR, 24 Mei – Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke China yang bermula pada 22 Mei lepas hingga 1 Jun ini, dijangka memberi impak positif kepada landskap bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) Mohammad Rizan Hassan berkata ini terbukti kerana Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET) cukup komited melaksanakan penghantaran bakat TVET tempatan ke China menerusi Malaysia-China Institute (MCI) yang diumumkannya tahun lepas.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kini dalam lawatan rasmi pertamanya ke China sejak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022, dan lawatan itu atas jemputan Naib Perdana Menteri China Ding Xuexiang. 

Mohammad Rizan berkata penghantaran bakat TVET tempatan ke China adalah bersifat latihan jangka pendek dan panjang melalui inisiatif Malaysia-China Youth TVET Training.

“Untuk rekod, sehingga bulan ini 850 orang telah menjalani latihan di beberapa Institusi TVET China dalam bidang seperti Teknologi Keretapi, Robotik, Kecerdasan Buatan (AI), Internet Benda (IOT), Kenderaan Elektrik (EV), Multimedia Animasi, E-Commerce dan banyak lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia dan China melihat kemajuan ketara dalam pelbagai sektor, termasuk pertukaran ekonomi, teknologi dan budaya, bagaimanapun masih ada potensi kerjasama yang belum diterokai sepenuhnya dalam bidang TVET seperti menggalakkan kerjasama menangani permintaan yang semakin meningkat untuk pekerja mahir dalam industri utama seperti pembuatan, kejuruteraan dan teknologi.

“Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada ekonomi kedua-dua negara tetapi juga menyumbang kepada kemakmuran dan kestabilan serantau. Salah satu kelebihan utama untuk meningkatkan kerjasama TVET antara Malaysia dan China ialah pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik.

“Kedua-dua negara mempunyai kepakaran dan pengalaman unik dalam TVET dan dengan berkongsi sumber dan pembelajaran antara satu sama lain, mereka boleh meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan untuk pelajar mereka,” katanya dan menambah ia juga akan memberi manfaat kepada pelajar dan industri di kedua-dua negara.

Mohammad Rizan berkata aspek penting kerjasama TVET Malaysia dan China ialah potensi untuk membina tenaga kerja mahir yang memenuhi permintaan pasaran global.

“Menerusi penyelarasan program TVET dengan keperluan dan trend industri, Malaysia dan China boleh melahirkan graduan yang serba lengkap untuk menyahut cabaran ekonomi abad ke-21, malah kerjasama ini juga dapat membantu merapatkan jurang kemahiran dan menangani ketidakpadanan antara keperluan pekerjaan dan kelayakan graduan,” katanya.

Menyentuh mengenai faedah ekonomi pula, beliau berkata kerjasama TVET Malaysia-China juga boleh mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat dan memupuk persefahaman budaya antara kedua-dua negara dengan mendedahkan pelajar kepada pelbagai perspektif, bahasa dan tradisi melalui program TVET.

Mohammad Rizan berkata pertukaran budaya itu boleh membawa kepada persahabatan dan perkongsian berpanjangan yang merentasi sempadan serta menyumbang kepada dunia yang lebih saling berkaitan dan aman.

“Untuk memaksimumkan kesan kerjasama TVET Malaysia-China, adalah penting bagi kedua-dua negara untuk melabur dalam infrastruktur, sumber dan pembinaan kapasiti dalam bidang pendidikan teknikal dan vokasional.

“Ini termasuk menyediakan sokongan untuk latihan guru, pembangunan kurikulum, dan kerjasama industri untuk memastikan program TVET memenuhi piawaian antarabangsa dan keperluan industri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here