SHAH ALAM, 25 Mei – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperhebat usaha membangunkan industri landskap pada tahun ini berikutan potensi besar ditunjukkan industri itu sebagai sumber ekonomi baharu negara.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata KPKT menyasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai pengeksport produk landskap dengan jangkaan peningkatan nilai industri itu kepada hampir RM30 bilion sekali gus menyumbang dua peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sebagai contoh, tahun lalu kita telah pergi ke Arab Saudi di mana pulangannya sangat tinggi apabila kita berjaya mendapat RM150 juta melalui misi perdagangan untuk peniaga dari negara itu membeli produk landskap dari Malaysia.

“Antara produk landskap negara yang diterima baik di luar negara termasuk baja, pokok, bunga dan pelbagai lagi selain perabot taman di mana Malaysia adalah penghasil perabot kesepuluh terbesar di dunia,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata bagi tahun lepas sahaja, Malaysia berjaya mengeksport perabot termasuk perabot taman ke luar negara bernilai hampir RM13 bilion.

HLN 2024 diadakan selama 10 hari bermula semalam hingga 2 Jun ini bertujuan memberi peluang  kepada penggiat industri untuk mempamer dan berinteraksi dengan lebih ramai pemegang taruh serta meluaskan jaringan perniagaan dan hubungan antara penggiat industri dan masyarakat.

 Berlangsung di Taman Tasik Shah Alam di sini, sambutan HLN 2024 turut menyediakan pelbagai aktiviti dan program menarik serta informatif kepada pengunjung.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here