KUCHING, 27 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa langkah menyelamatkan negara dan melindungi hak rakyat adalah lebih penting berbanding memperoleh markah yang tinggi untuk mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Susulan itu, Anwar berkata beliau tidak kisah kedudukan Malaysia jatuh dalam laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang dikeluarkan oleh Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) baru-baru ini kerana negara mengambil tindakan keras terhadap ketaksuban dalam isu perkauman dan agama.

“Saya tidak kisah, tak mengapa jika kedudukan negara kita diturunkan hanya kerana kita mengambil tindakan keras terhadap golongan yang fanatik dalam isu perkauman dan agama kerana bagi saya, untuk menyelamatkan negara ini dan melindungi hak rakyat majoriti serta minoriti adalah lebih penting daripada memperoleh markah yang tinggi bagi mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Jika anda membiarkan ketaksuban dalam isu perkauman atau fasisme atau agama membiak maka anda perlu menjangkakan kemungkinan wujudnya ketidakharmonian agama,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di sini pada Isnin.

Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 menunjukkan kedudukan Malaysia jatuh 34 anak tangga kepada tempat ke-107 berbanding ke-73 tahun lepas dengan markah 52.07 mata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here