KUALA LUMPUR, 23 Sept — Enggan lagi melihat buah-buahan dibazirkan akibat tidak tahan lama dan cepat rosak, seorang graduan dalam bidang Teknologi Maklumat berjaya mencipta label pelekat yang boleh memanjangkan tempoh kesegaran, dengan melindunginya daripada ancaman kulat dan penyakit.

Zhafri Zainuddin, 37, berkata label pelekat yang dinamakan ‘StixFresh’ itu adalah teknologi berasaskan pelekat inovatif, yang mampu memanjangkan jangka hayat hingga dua ke tiga kali lebih lama dengan cara semula jadi, bergantung kepada jenis buah-buahan.

“Idea tercetus hasil daripada pengalaman saya ketika terlibat dalam perniagaan menjual buah-buahan tempatan di Seremban. Ketika itu, saya kerap mengalami pembaziran dan kerugian disebabkan perlu menguruskan buah-buahan yang rosak dan tidak tahan lama,” katanya kepada Bernama.

Mengaplikasikan konsep menjana kekayaan daripada bahan buangan, Zhafri yang juga pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif StixFresh International Sdn Bhd yang bertapak di Senawang, Negeri Sembilan berkata label pelekat itu, menggunakan sebatian anti-mikroba secara semula jadi yang dihasilkan oleh tumbuhan-tumbuhan bertujuan untuk melindungi buah-buahan.

“Ia dibangunkan dengan teknologi salutan menerusi kaedah mengestrak tumbuhan dan herba yang diletakkan pada label pelekat bagi membolehkan ia bertindak sebagai ‘diffusion material’ sekali gus melindungi buah-buahan daripada pertumbuhan kulat yang agresif, semasa penjualan dan penghantaran seterusnya memanjangkan tempoh kesegarannya,” katanya.

Katanya, bahan yang digunakan di dalamnya dikategorikan sebagai GRAS (Generally Recognized as Safe) yang mematuhi piawaian Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (USFDA), bahkan teknologi pelestarian kesegaran ini juga telah didaftarkan dengan ‘World Intellectual Property Organization’ (WIPO).

“Bagi saya, label pelekat tidak seharusnya digunakan sebagai dekorasi semata-mata dan teknologi ini dibangunkan bagi membantu pengguna dan industri, dalam mencari penyelesaian selaras dengan matlamat membantu mengurangkan pembaziran ‘from farm to fork’,” katanya.

Malah, Zhafri yang berasal dari Kuala Lumpur berkata proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi teknologi StixFresh, turut mendapat sokongan padu daripada Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Bukan mudah untuk membangunkan sesuatu teknologi dan ia memakan masa selama tiga tahun untuk menjadikan ia matang dan diterima di dalam pasaran, dan kami juga dalam fasa memohon ‘Strategic Research Fund’ daripada MOSTI.

“Kami juga sedang giat merangka peluang kerjasama dengan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia, bagi menambah nilai teknologi ini seterusnya memperkukuhkan lagi posisinya di pasaran tempatan dan global,” katanya.

Bagaimanapun, Zhafri berkata buat masa ini, label pelekat ini hanya boleh digunakan untuk beberapa jenis buah-buahan tempatan seperti mangga, betik dan buah naga, selain merancang meluaskan penggunaan teknologi ini kepada buah-buahan lain yang premium seperti ‘Japanese pear’ dan spesis Melon.

“Kami juga akan ‘tackle’ buah yang bersaiz kecil seperti strawberi dan anggur, namun bukanlah melalui label pelekat sebaliknya lebih kepada penggunaan semburan cecair bergred makanan yang selamat digunakan dan tidak mengandungi sebarang bahan yang merbahaya.

Kami juga berhasrat untuk membangunkan sejenis uncang dan pembungkusan pintar untuk kegunaan sayur-sayuran,” katanya yang bercadang untuk mengusahakan perniagaan buah-buahan yang menggunakan teknologi StixFresh, sebagai satu nilai tambah.

Lebih membanggakan, StixFresh juga berjaya mengorak langkah ke persada dunia selepas menyertai ‘Expo World of Perishable Dubai’ pada 2016 dan kini cukup dikenali di Amerika Syarikat dan Jepun.

“Tahun ini, kami menjadi satu-satunya syarikat tempatan yang terpilih untuk program ‘InnoChallange’ yang memberi ganjaran berbentuk ‘in-kind grant’ berjumlah tiga juta Yen sekali gus membantu membuka pasaran di Jepun, selain berpeluang menyertai program ‘The Circular Accelerator Cohort 21’ yang berfokus kepada memajukan peralihan ekonomi global ke arah ekonomi kitaran.

“Kami mahu menjadi syarikat teknolgi hijau yang mengurangkan pembaziran makanan dalam industri pertanian. Dari buah hingga sayur-sayuran, tenusu, daging dan makanan laut, kami berusaha untuk menempatkan diri sebagai pemain global, dengan pelbagai penyelesaian semula jadi dan selamat,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here