KUCHING, 27 Ogos — Sarawak akan memulakan penyelidikan bagi menghasilkan bahan api bio daripada alga dengan siapnya kemudahan penanaman alga milik Pusat Kepelbagaian Bio Sarawak (SBC) di Semengoh, Padawan, di sini.

Dengan keluasan 1,000 meter persegi di kawasan terbuka, ia dianggap sebagai kemudahan terbesar seumpamanya di Asia Tenggara.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata penetapan suhu serta penanaman alga di kawasan ini digerakkan dengan menggunakan alat sensor khas.

“Ia juga diuruskan dengan teknologi kecerdasan buatan yang dipasang pada alat itu, dan ini akan membolehkan penanaman alga dijayakan di persekitaran yang amat sensitif.

“Tahniah kepada SBC dan Mitsubishi (Corporation), saya harap kemudahan serta penanaman alga ini akan dapat menghasilkan bahan api yang anda perlukan,” katanya semasa melancarkan kemudahan berkenaan di SBC hari ini.

Sementara itu Pengerusi Majlis Kepelbgaian Bio Sarawak Tan Sri Wilson Baya Dandot berkata kemudahan penanaman alga itu dijangka menghasilkan enam tan biomass kering setahun.

“Bergantung kepada jenis aplikasi dan spesis alga, hasil ini mungkin cukup untuk pengeluaran skala kecil bekalan makanan akuakultur, atau menjadi bahan aktif untuk makanan tambahan.

“Bagaimanapun bagi rantaian bekalan skala global yang lebih besar atau bagi pengeluaran bahan api bio, kemudahan ini perlu ditingkatkan keluasannya sehingga beratus-ratus atau beribu-ribu hektar,” katanya.

 — BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here