JOHOR BAHRU, 27 Ogos — Sekolah Kebangsaan Tanjung Adang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Adang yang sebelum ini diarahkan tutup selama dua hari berikutan kebakaran hutan di Jalan Tanjung Kupang, Kampung Pekajang dekat Gelang Patah, akan dibuka semula esok.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan (Pengurusan Sekolah) Johor Ab Rahim Lamin berkata berdasarkan pemantauan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor petang tadi, keadaan di lokasi kejadian dilihat bertambah baik.

“Berdasarkan pemantauan pihak JAS pada tengah hari tadi, tiada kepulan asap dikesan dibawa ke kawasan sekolah. Angin juga bertiup ke arah  bertentangan dengan sekolah.

“Pembakaran di tepi kawasan sekolah juga telah dapat dikawal oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” kata beliau ketika dihubungi Bernama, di sini, sebentar tadi.

Bagaimanapun, kedua-dua buah sekolah itu akan dibuka esok seperti biasa dengan langkah berjaga-jaga.

Beliau berkata antara langkah berjaga-jaga yang diambil adalah semua warga sekolah diminta memakai topeng muka yang telah dibekalkan, sementara pelajar yg ada komplikasi asma dibenarkan untuk tidak hadir.

Sebagai wakil Jabatan Pendidikan Negeri, Ab Rahim turut mezahirkan ucapan terima kasih kepada JBPM serta agensi-agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan operasi pemadaman hutan berkenaan.

Terdahulu, Ketua Zon 1 JBPM Johor Mohamad Faizul Selamat berkata sebanyak 70 peratus daripada 16 hektar hutan yang terbakar telah berjaya dipadamkan setakat hari ini.

Operasi yang masuk hari ketujuh itu, melibatkan seramai 140 anggota dan pegawai JBPM selain bantuan agensi-agensi lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Johor, Jabatan Alam Sekitar Johor dan lain-lain agensi berkaitan. 

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here