KUALA LUMPUR, 11 Sept — Pameran Perindustrian Pintar China bakal menyaksikan beberapa memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara syarikat teknologi China dan kerajaan-kerajaan negeri serta syarikat tempatan.

Dianjurkan oleh Persatuan Usahawan China Malaysia (PUCM), pameran di Mid Valley Megamall itu berlangsung pada 14 dan 15 Dis depan.

Presiden PUCM Datuk Keith Li berkata kerajaan negeri, khususnya Perlis dan Kedah, telah menyatakan minat terhadap teknologi berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan produk teknologi pintar dari republik itu.

“Mereka menunjukkan minat yang besar untuk membawa teknologi pintar China itu ke negeri masing-masing,” katanya kepada Bernama selepas mengunjungi Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang di sini hari ini.

Enam sesi padanan perniagaan antara firma teknologi China dan syarikat tempatan juga akan berlangsung dalam tempoh dua hari acara itu, katanya, dan menambah bahawa badan dan agensi kerajaan Malaysia mengalu-alukan produk teknologi tinggi dan pintar, termasuk dari China.

“Ini dapat dilihat apabila Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mathathir Mohamad semasa melawat China (pada April tahun ini), beliau mengunjungi ibu pejabat teknologi China, Huawei Technologies Co Ltd, dan pejabat perintis AI SenseTime Group Ltd.

“Pengasas SenseTime Professor Xiao’ou Tang juga dilantik sebagai ahli lembaga Khazanah Nasional Bhd, orang asing pertama yang dilantik dalam dana kekayaan negara itu,” katanya.

Justeru, bagi mempromosi AI dan teknologi pintar dari China, Li berkata acara dua hari itu akan membolehkan kerajaan Malaysia, penggiat dalam perdagangan industri pintar dan orang ramai ntuk mendapatkan lebih banyak pengetahuan tentang teknologi, produk dan perkhidmatan pintar China.

“Acara ini juga akan menggalakkan interaksi yang lebih baik antara pemain industri China dan masyarakat setempat, memperkenal produk dan teknologi China yang lebih maju ke Malaysia untuk membantu pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Pameran itu akan menampilkan syarikat-syarikat teknologi informasi dan komunikasi (ICT) China seperti pengilang robot Ubtech Robotics, China Mobile International Ltd, China Telecom Corporation Ltd dan Vivo Communication Technology Co Ltd.

“Pada masa ini, kira-kira 40 syarikat terlibat dengan kami, dengan 70 peratus terdiri daripada firma China manakala selebihnya syarikat tempatan,” katanya. Terdapat kira-kira 70 gerai di pameran itu.

Pameran itu juga turut mendapat sokongan daripada pelbagai badan dan agensi kerajaan seperti Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (PIKOM), Persatuan Perniagaan dan Pengusaha Industri Malaysia (PERDASAMA), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Persatuan PKS Malaysia (PKS), Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) dan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MYCEB).

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here