KUALA LUMPUR, 26 April – AirAsia Group Sdn Bhd (AAG) bakal disenaraikan di Bursa Malaysia pada September, mengambil alih status penyenaraian AirAsia X Bhd, kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau berkata AAG adalah syarikat penerbangan gabungan di bawah AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL), terdiri daripada anak syarikat AirAsia di Thailand, Indonesia, Filipina, dan tidak lama lagi di Kemboja, bersama dengan AirAsia Bhd (AAB) yang mengendalikan operasi di Malaysia.

“Penggabungan itu adalah untuk menyelaraskan operasi bagi tujuan untuk menjadi syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia dengan strategi ‘One Airline’ bagi mengubah wajah perjalanan tambang rendah global,” katanya semasa majlis permeteraian perjanjian jual dan beli saham bersyarat antara Capital A dan AAG, hari ini.

Fernandes berkata beliau percaya langkah itu akan membuka jalan kepada Capital A untuk keluar daripada status PN17 selepas pelupusan anak syarikat milik penuhnya – AAAGL dan AAB.

“Jadi perkara pertama adalah menyiapkan pekeliling untuk janji niaga ini yang saya harap akan dapat dilakukan dalam masa dua minggu. Kemudian kami perlu menyerahkannya kepada Bursa Malaysia untuk mendapatkan kelulusan yang saya harap boleh dilakukan dengan segera.

“Selepas itu kami ada masa 21 hari untuk memanggil mesyuarat agung luar biasa daripada kedua-dua syarikat untuk meluluskan janji niaga ini. Jadi apabila ia selesai kelak, kami perlu mendapatkan kos untuk meluluskannya bagi pengurangan modal, kemudian barulah kami boleh disenaraikan,” katanya.

Selepas penjualan, beliau berkata, Capital A akan mengekalkan empat perniagaan terasnya termasuk Capital A Aviation Services, Teleport, MOVE Digital dan Capital A International.

Fernandes berkata AirAsia Group akan mengoptimumkan keuntungan mereka dengan model pesawat yang cekap, dengan syarikat itu menambah model A320s dan mengurangkan model A330s kepada A321 Neo.

Semalam, Capital A mengumumkan kepada bursa saham bahawa ia telah memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat dengan AAG untuk melupuskan 100 peratus kepentingan ekuitinya dalam AAAGL dan AAB pada harga RM6.8 bilion.

Capital A juga mengumumkan cadangan pengagihan saham biasa baharu dalam AAG untuk diterima sebagai saham pertimbangan bagi cadangan pelupusan AAAGL sebanyak RM2.20 bilion kepada pemegang saham yang layak bagi kumpulan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here