KUALA LUMPUR, 18 Sept — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan ucaptama pada Forum Hari Antarabangsa bagi Pembasmian Kemiskinan 2019 (IDEP 2019) Yayasan Sejahtera pada 16 Okt depan di Kompleks Pengurusan & Inovasi Penyelidikan, Universiti Malaya.

Dengan tajuk ‘Pembangunan Inklusif dan Sejahtera Dalam Malaysia Baharu,’ acara itu menandakan Hari Antarabangsa Bagi Membasmi Kemiskinan yang disambut di seluruh dunia pada bulan Oktober.

“Kami sentiasa mempercayai Pendekatan Berasaskan Masyarakat sebagai pendekatan yang lebih holistik untuk memerangi kemiskinan,” kata Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sejahtera, Tan Sri Faizah Mohd Tahir.

Justeru seruan kerajaan agar kemakmuran itu dikongsi bertepatan dengan objektif kami untuk membina komuniti yang mampan dalam membantu golongan miskin menjadi lebih baik untuk masa depan yang lebih cerah.”

Semasa forum, pakar dan penyelidik akan membincangkan trend, implikasi dan tindakan yang mungkin diambil bagi membantu mereka yang tinggal di bawah garis kemiskinan, menurut satu kenyataan.

Acara ini merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-10 Yayasan Sejahtera dalam usaha membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat B40 di Malaysia sejak tahun 2009.

Yayasan Sejahtera juga akan memperkenalkan platform Dana Pembangunan Masyarakat (CDF) yang bertujuan untuk membentuk saluran yang mampan bagi sumbangan untuk mengurangkan kemiskinan secara keseluruhan.

CDF akan berfungsi sebagai platform secara langsung bagi sektor swasta untuk menderma terhadap projek komuniti dan bekerja rapat untuk mengurangkan kesengsaraan kemiskinan.

Maklumat lanjut di  https://www.sejahtera.my.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here