PUTRAJAYA, 19 Sept (Bernama) — Kementerian Pendidikan akan bekerjasama dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) antaranya bagi mempromosikan bidang libur pendidikan (edutourism) di Malaysia, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata Kabinet pada minggu lepas telah meluluskan konsep edutourism atau pelancongan sambil belajar yang akan diuruskan oleh Kementerian Pendidikan (KPM)

“Kita rasa kalau kita boleh promosikan bersama dengan pihak Bernama ini akan dapat menarik lebih ramai pihak untuk melakukan edutourism,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan Bernama di KPM, di sini hari ini. Turut hadir ialah Ketua Pengarang Bernama Datuk Mokhtar Hussain.

Maszlee berkata program libur pendidikan telah wujud dan kursus-kursus yang ditawarkan merupakan kursus jangka pendek seperti intensif bahasa dan kemahiran.

Beliau berkata pihaknya juga telah mendapat persetujuan daripada Jabatan Imigresen untuk mengeluarkan visa belajar kepada pelancong yang berminat untuk mengambil kursus jangka pendek itu.

“Sebelum ini ramai yang berminat untuk itu (belajar sambil melancong) tetapi mereka tidak diberikan visa untuk belajar. Visa untuk belajar ini bukan visa untuk duduk selamanya sebagai pelajar tetapi untuk tempoh kursus ataupun training yang mereka ikuti,” katanya.

Menurutnya, kursus yang ditawarkan ada yang melibatkan beberapa minggu sahaja dan ada juga sehingga tiga bulan, tetapi kebanyakan kursus yang ditawarkan adalah dalam tempoh satu hingga dua bulan.

“Seperti mana kita tahu Malaysia menjadi destinasi pelancongan. Ada yang datang hanya untuk berlibur dan ada juga yang datang untuk belajar sama ada bahasa atau ilmu kemahiran sewaktu mereka bermukim di Malaysia terutama semasa musim panas di negara-negara di hemisfera utara.

“Mereka yang berminat ini, selain berlibur akan mengambil peluang mendaftarkan diri belajar sepanjang mereka bermukim mungkin untuk sebulan dua dan akhirnya mereka pulang dengan kelayakan-kelayakan atau pulang dengan ilmu yang mereka dapat cedok,” katanya.

Menyentuh mengenai Bernama, Maszlee berkata hubungan yang baik antara kementerian dan agensi berita nasional itu perlu diteruskan bagi memastikan maklumat berkenaan dasar dan polisi kementerian sampai bukan sahaja kepada masyarakat tempatan tetapi juga antarabangsa.

“Di luar negara, di peringkat antarabangsa, Bernama jalan yang paling efektif. Kita tahu berita-berita dari Bernama sentiasa diambil oleh pihak luar sebagai bahan berita mereka.

“Kita juga ada beberapa agenda pendidikan kebangsaan yang kita mahu kongsikan dengan rakyat dan pihak antarabangsa yang saya rasa Bernama boleh menjadi rakan strategik untuk menyampaikan semua maklumat tersebut,” katanya.

Mokhtar pula berkata pertemuan itu banyak membincangkan perkara berkenaan agenda pendidikan serta program-program di bawah KPM yang perlu diketengahkan dan dipromosi bagi memastikan objektifnya sampai kepada kumpulan sasaran.

“Agenda pendidikan agenda yang penting bagi Malaysia untuk maju ke depan.Elok kita fokus pada pelajar kita, generasi muda kita kerana mereka akan jadi penggerak ke arah Malaysia yang lebih maju, yang lebih stabil dan Malaysia yang bersatu.

“Jadi kita fikir program-program yang diatur oleh KPM perlu kita sama-sama bantu mereka memperkenalkan dan mewar-warkan kepada rakyat kita,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here