KUALA LUMPUR, 23 Sept — Pacific Construction Group Ltd (CPCG) akan mengetuai satu konsortium pelabur untuk melabur kira-kira RM3 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang dalam pembangunan infrastruktur, termasuk taman perindustrian, zon perdagangan bebas dan perumahan mampu milik di Terengganu.

Inisiatif itu akan diketuai oleh anak syarikatnya di Malaysia, CPCG Holdings Sdn Bhd, yang memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Terengganu Jiangsu Trade Organisation (TJTO) semasa Expo China-ASEAN ke-16, di Nanning, China.

Pengarah CPCG Holdings, Zhou Ya Dong berkata pelaburan strategik itu sejajar dengan usaha kerajaan China untuk memenuhi Inisiatif ‘Jalur dan Laluan’ serta Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Kami berhasrat untuk melengkapkan inisiatif ini bagi membolehkan Terengganu membangunkan ekonomi yang rancak dan dinamik, serta memupuk kemakmuran bersama bagi mereka yang menetap di negeri itu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

MoU itu ditandatangani oleh Zhou dan Presiden TJTO, Tengku Iskandar Tengku Hashim.

Tahun lepas, pengasas CPCG, Yan Jiehe mengumumkan rancangan untuk melabur sehingga RM10 bilion bagi tempoh lebih 10 tahun di Malaysia selaras dengan bidang perniagaan teras syarikat iaitu pembangunan infrastruktur, jentera teknologi tinggi dan pendidikan.

Sebanyak 65 peratus daripada RM10 bilion itu akan dilaburkan dalam sektor pembinaan dan infrastruktur.

CPCG Holdings,yang beribu pejabat di sini, adalah Pusat Kompetensi Teknikal Serantau CPCG.

Menurut kenyataan tersebut, anak syarikat itu akan terus memudahkan pelaburan CPCG di Malaysia dan di seluruh Asia Pasifik.

Ia telah berjaya menyiapkan projek pembinaan bernilai RM200 juta di Sabah.

CPCG yang berada di kedudukan ke-97 dalam Fortune Global 500 2019 dengan jumlah hasil sebanyak RM319 bilion, merupakan syarikat pembinaan milik swasta terbesar di dunia.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here