GOPENG, 30 Sept — Kementerian Kesihatan tidak menetapkan kadar caj pemeriksaan kesihatan kepada pemandu perkhidmatan ‘e-hailing’ yang membaharui lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

Timbalan Menterinya Dr Lee Boon Chye berkata sebaliknya pihak kementerian hanya mengambil kira ujian saringan pemeriksaan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

“Ujian pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan mengikut cara yang betul dan lengkap ke atas pemandu e-hailing dengan tahap yang memuaskan.

“Dari segi caj (perkhidmatan) itu, biarlah pasaran (perubatan) yang membuat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri, Zamzurin Maarof di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini, hari ini.

Dr Lee mengulas kenyataan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang mahu kementerian itu menyiasat dakwaan bahawa adalah mustahil sekiranya terdapat doktor yang menyediakan pemeriksaan kesihatan untuk pemandu e-hailing pada kadar hanya RM20.

Presidennya, Dr N. Ganabaskaran berkata adalah mustahil bagi pengamal perubatan untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan yang betul mengikut kos sedemikian.

“Kami ingin tahu apa jenis pemeriksaan perubatan yang ditawarkan pada harga yang rendah,” katanya seperti dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini.

Terdahulu, Dr Lee dalam ucapannya berkata sehingga Jun tahun ini sebanyak 5,031 kes kemalangan pekerjaan telah dilaporkan oleh JKKP dengan 486 kes adalah dari Perak.

Katanya berdasarkan statistik tahun lepas, kes berkaitan Penyakit Pendengaran Akibat Bunyi Bising Pekerjaan paling banyak dilaporkan pada tahun lepas iaitu sebanyak 4,506 yang antaranya melibatkan kehilangan pendengaran dan kecacatan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here