KUALA LUMPUR, 2 Okt — Kumpulan Lazada, pengendali platform e-dagang di Asia Tenggara, bekerjasama dengan kumpulan perbankan global, Citibank, untuk memperkenalkan kad kredit jenama bersama e-dagang yang pertama di rantau itu.

Pengarah Bahagian Kad Kredit dan Pinjaman Peribadi Citibank Rantau Asia Pasifik Sanjay Nambiar berkata Citibank dan Lazada menetapkan sasaran 500,000 orang akan menggunakan kad kredit itu di seluruh rantau itu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Malaysia ialah negara pertama melancarkan kad ini. Akan diikuti dengan pelancaran di negara lain di rantau ini dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kad itu di sini, hari ini.

Pengurus Peniagaan Pelanggan Citibank Malaysia Elaine Fan berkata kerjasama itu merupakan langkah ke hadapan dalam penjenamaan bersama bagi perniagaan kad kredit kerana ia menampilkan gabungan kuasa e-dagang dengan kekuatan platform kewangan global.

“Di Citibank, keutamaan kami termasuk berkembang ke segmen baharu seperti kalangan membeli-belah daripada generasi muda yang merupakan pelanggan terbesar e-dagang,” katanya.

Kad baharu itu, katanya akan membolehkan Citibank menilai kumpulan pelanggan muda dan mahir digital yang merupakan majoriti pelanggan e-dagang di rantau itu manakala Lazada akan perluaskan tawaran dan perkhidmatannya dengan memanfaatkan platform kewangan global itu.

Ketua Pegawai Pemasaran kumpulan Lazada Mary Zhou berkata kad itu dijangka mendapat sambutan menggalakkan di Malaysia dan di rantau itu yang disokong pelbagai insentif dan faedah.

Pemegang kad, katanya akan menikmati 10 kali mata menerusi pembelian di Lazada dan sehingga 20 peratus ganjaran tunai menggunakan tambah nilai Wallet Lazada.

Pemegang kad juga akan mendapat 1,000 mata bonus setiap bulan dengan menggunakan kad itu untuk pembelian runcit mereka dengan perbelanjaan runcit minimum RM1,500 sebulan dalam satu penyata, katanya.

“Kad itu juga menawarkan faedah dan diskaun unik bagi perjalanan, kesihatan dan gaya hidup dengan rakan kongsi terpilih seperti Malindo, Klook, Fraser Hospitality, Dominos, Healthland and ClassPass,” katanya.

Perniagaan Perbankan Pengguna Asia Pasifik Citibank mempunyai kira-kira 15.2 juta kad kredit, merangkumi 12 pasaran di rantau itu.

Lazada mempunyai kira-kira 50 juta pengguna aktif di rantau Asia Tenggara.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here