KUALA LUMPUR, 18 Mei – Tempoh permohonan keahlian Sidang Belia Wilayah Persekutuan (SBWP) dilanjutkan hingga 31 Mei ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata lanjutan tempoh selama dua minggu dari tarikh akhir penyertaan asal iaitu pada 17 Mei,  bagi memberi ruang kepada lebih ramai belia melibatkan diri dalam sidang berkenaan.

“Setakat ini kita telah menerima 200 penyertaan walaupun kita hanya akan menerima 65 wakil belia. Saya rasa ini pencapaian yang baik, oleh itu kita mahu membuka lagi (permohonan) supaya ada ruang untuk kita memilih belia dari pelbagai latar belakang untuk menyertai sidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sambutan Hari Belia Negara 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurutnya SBWP yang julung kali diadakan itu membabitkan 13 kawasan Parlimen termasuk Putrajaya dan Labuan dengan setiap Parlimen diwakili lima belia.

Program berkenaan mensasarkan belia berusia 18 hingga 35 tahun yang bermastautin di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan dengan mesyuarat pertama SBWP akan dilaksanakan pada Julai, disusuli mesyuarat kedua pada November.

Permohonan untuk menjadi ahli boleh dibuat melalui laman web http://sidangbeliawp.my/ dan peserta yang terpilih akan disenarai pendek Jawatankuasa Pemilihan Peserta.

Sementara itu mengulas tindakan yang diambil terhadap pemilik tanah persendirian yang didapati enggan menyelenggara pokok berisiko di kawasan masing-masing, Dr Zaliha berkata perkara itu akan diteliti pihaknya dan juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).  

Pada masa sama beliau berkata garis panduan sedia ada dalam menangani isu pokok berusia dan berisiko di ibu negara akan ditambah baik bagi memastikan kejadian pokok tumbang tidak berlaku lagi pada masa depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here