KUALA LUMPUR, 2 Okt — Proton telah melepasi paras jumlah jualan untuk 2018 dalam tempoh hanya sembilan bulan selepas merekodkan pencapaian sebanyak 70,330 unit setakat ini berbanding 64,744 pada keseluruhan tahun lepas.

Pengeluar kereta itu dalam kenyataan hari ini berkata dengan 8,934 unit yang dicatatkan pada September 2019, ia telah meraih kadar pertumbuhan sebanyak 97 peratus berbanding 4,524 unit dalam bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Prestasi luar biasa Proton adalah menyamai dengan anggaran bahagian pasaran sebanyak 20.2 peratus, menunjukkan bahawa jualan syarikat yang semakin meningkat berbanding pesaingnya.

“Angka ini adalah yang tertinggi dalam tempoh 66 bulan untuk jenama kami dan ia membantu dalam meningkatkan penguasaan pasaran dari tahun ke tarikh pada anggaran 15.8 peratus,” katanya.

Model popular yang membantu jualan pada September adalah Proton Saga, sejumlah 3,994 unit telah dihantar pada bulan lepas, bilangan penghantaran bulanan tertinggi bagi model Proton pada 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Dr Li Chunrong berkata dengan melepasi jumlah jualan 2018 dalam tempoh hanya sembilan bulan, Proton kini berada dalam sasaran untuk mencecah angka jualan terbaik sejak 2015.

“Kejayaan yang paling signifikan, sebenarnya adalah Saga, apabila kembali mencatatkan kedudukan teratas dalam segmen jualan.

“Walaupun model itu dilancarkan kurang daripada dua bulan lepas, sambutan dari rakyat Malaysia amat luar biasa,” tambahnya lagi.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here