KUALA LUMPUR, 2 Okt — AirAsia Bhd hari ini memulakan penerbangan empat kali seminggu dari Kuala Lumpur ke pulau Belitung, Indonesia, susulan bermulanya penerbangan harian Jakarta-Belitung pada 1 Okt.

Laluan dari Kuala Lumpur dan Jakarta itu akan meneruskan sokongan trajektori syarikat penerbangan tambang rendah ini kepada inisiatif Kementerian Pelancongan Indonesia untuk membangunkan ‘10 Bali Baharu’, kata Timbalan Ketua Pengawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Veranita Yosephine dalam kenyataan.

“Bagi tahun ini sahaja, AirAsia Indonesia telah melancarkan laluan baharu dari Jakarta ke Sorong, dari Bali ke Lombok dan ke Labuan Bajo, pintu masuk ke pulau Komodo.

“Demi melancarkan perluasan ini, syarikat telah menambah jumlah pesawat dengan tiga Airbus A320 baharu yang berpangkalan di Jakarta dan Lombok,” katanya.

Selain itu, sebelum akhir 2019, AirAsia juga akan menerima penghantaran dua lagi pesawat baharu, katanya.

Sempena meraikan perkhidmatan bagi laluan baharu itu, AirAsia menawarkan tambang termasuk semua istimewa serendah RM89 dari Kuala Lumpur ke Belitung mulai hari ini sehingga 6 Okt bagi tempoh perjalanan antara hari ini dan 9 Feb, 2020.

Tambang termasuk semua bagi bukan ahli bermula RM94 bagi perjalanan sehala, termasuk cukai.

Tempahan boleh dibuat menerusi airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here