KUALA LUMPUR, 2 Okt — Syarikat kelapa sawit Malaysia, khususnya ahli Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) telah berhenti mengamalkan pembakaran terbuka di ladang-ladang mereka sejak tahun 1985, sebelum penubuhan RSPO pada tahun 2004, kata Ketua Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) Datuk Nageeb Wahab.

Beliau berkata syarika seperti Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK), Sime Darby Plantation Bhd (SDP) dan Genting Plantations Bhd telah menggantikan pembakaran terbuka itu dengan kaedah lain iaitu melibatkan penebangan pokok kelapa sawit.

“Daripada membakarnya, mereka menebang pokok-pokok itu dan menjadikannya biomas (baja)… kita telah melakukannya sejak 1985 apabila mereka (pengusaha industri) menemui teknik ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Naqeeb berkata demikian bagi mengulas kenyataan bahawa Indonesia telah mengenal pasti enam syarikat berkaitan Malaysia yang beroperasi di republik itu daripada 56 firma yang bertanggungjawab bagi pembakaran terbuka sehingga menyebabkan fenomena jerebu serantau.

Syarikat tersebut ialah PT Ichtiar Gusti Pudi, (ia ada ada kaitan dengan Ahmad Zaki Resources Bhd), PT Menteng Jaya Sawit Perdana dan PT Adei Plantation and Industries (dihubung kait dengan KLK), PT Sime Indo Agro (syarikat berkaitan SDP), PT Rafi Kamajaya Abadi (dihubung kait dengan TDM Bhd), dan PT Kebun Ganda Prima, dikaitkan dengan Silver Investments Ltd Malaysia.\

Mengulas lanjut, Naqeeb berkata bagi sesetengah ladang, kebakaran merebak ke ladang mereka tetapi mereka berjaya mengawalnya dengan cepat, kecuali TDM Plantation Sdn Bhd yang mempunyai ladang berskala lebih besar.

Syarika kelapa sawit Malaysia telah menafikan dakwaan terhadap mereka dengan mengatakan bahawa kejadian kebakaran baru-baru ini berlaku di luar kawasan operasi mereka.

Contohnya, SDP, menyatakan kebakaran yang berlaku terletak di tanah diduduki komuniti tempatan, manakala IOI Corporation Bhd dilaporkan berkata ia telah menyediakan sistem pengawasan dan sumber yang berdedikasi untuk memadamkan kebakaran dalam sempadannya

“Masalahnya ialah ketika musim kering, hanya dengan membuang puntung rokok akan menyebabkan kebakaran, tetapi apa yang perlu ditekankan ialah semua syarikat ini sudah pun bersedia dengan peralatan untuk membantu. Kebanyakan ahli kami mempunyai kemudahan tersebut,” katanya.

Naqeeb, yang juga pengerusi Felcra Bhd, menggesa Malaysia dan Indonesia untuk bekerjasama mengatasi masalah itu dan menghentikan persepsi negatif mengenai komoditi di Kesatuan Eropah.

Beliau menegaskan ladang kelapa sawit bukanlah satu-satunya penyebab pembakaran terbuka dan jerebu, memandangkan pendirian Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) bahawa kebakaran hutan adalah masalah global dengan insiden kebakaran baru-baru ini berlaku di Rusia, Australia dan California di Amerika Syarikat.

Dalam kenyataannya baru-baru ini, CPOPC menyatakan bahawa tidak ada gesaan untuk larangan atau boikot sama ada produk Rusia atau daging Australia dan tebu.

“Di Asia Tenggara, kerajaan – terutamanya Singapura dan Indonesia – telah mengambil tindakan terhadap pelaku yang bertanggungjawab. Mereka telah mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat pulpa, dengan menyatakan bahawa mereka bertanggungjawab terhadap banyak kebakaran di Sumatera.

“Namun, produk minyak kelapa sawit – bukan produk kertas – yang banyak mendapat kritikan di luar rantau ini,” kata CPOPC.

Majlis itu berkata pekebun kecil telah menggunakan kaedah pembakaran sebagai sebahagian daripada pertanian selama berabad-abad di Asia, Eropah dan seluruh dunia. Kebakaran melenyapkan tumbuh-tumbuhan dan abu daun nutrien di dalam tanah.

“Di Amerika Syarikat, misalnya, ‘pembakaran di lapangan’ masih digunakan di banyak negeri di sana sebagai sebahagian daripada pengurusan pertanian. Di seluruh Asia Tenggara hari ini, kebakaran seperti ini secara amnya menyalahi undang-undang, dan di banyak negara, ia dikenakan hukuman keras.

“Walaupun terdapat beberapa pengecualian, biasanya diberikan permit, ini bukan tanggungjawab sektor minyak sawit,” kata CPOPC.

MPOA mewakili 118 syarikat perladangan, meliputi 1.87 juta hektar atau 40 peratus daripada jumlah tanaman kelapa sawit di negara ini.

Ahli termasuk syarikat terkemuka dalam sektor perladangan (memiliki pensijilan RSPO) seperti KLK, FGV Holdings Bhd, SDP dan IOI Bhd.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here