KUALA LUMPUR, 2 Okt –Sime Darby Property Bhd berjaya menangani situasi hartanah semasa yang suram apabila meraih jualan sebanyak RM1 bilion melalui kempen 78 hari dengan 1,127 unit dijual, sebahagiannya disebabkan inisiatif sokongan kerajaan seperti Kempen Pemilikan Rumah dan skim pembiayaan.

“Walaupun keadaan pasaran hartanah sekarang ini, syarikat berjaya menarik jualan yang melebihi jangkaan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Wan Hashimi Albakri Wan Ahmad Amin Jaffri dalam satu kenyataan.

Angka tersebut mencerminkan kewujudan permintaan untuk rumah bertanah pegangan bebas yang berkualiti tetapi harga yang menarik, di lokasi utama yang memiliki akses yang mudah.

Kempen Spotlight 8 yang berlangsung dari 13 Julai hingga 29 September, menawarkan rebet menarik untuk hartanah sedia ada di dalam perbandaran terkemuka dan baharu merangkumi lapan lokasi di Lembah Klang.

Lapan lokasi berkenaan adalah Bandar Bukit Raja, City of Elmina, KL East, Subang Jaya, Serenia City, Putra Heights, Negeri Sembilan dan Kajang.

Sepanjang tempoh dua belas minggu itu, syarikat telah melancarkan tiga projek baharu iaitu Kyra dan Laman Lakeside di Bandar Bukit Raja, Serenia Arina di Serenia City, Sepang dan menawarkan pratonton Aurora, projek menara berasaskan konsep “dto” yang pertama di Pusat Bandar Subang Jaya.

“dto” merupakan platform eksperiman hartanah dalam talian Sime Darby yang pertama, ia membolehkan bakal pelanggan untuk campur tangan dalam memilih konsep pembangunan, reka bentuk dan fasiliti bagi aset masa hadapan mereka.

Menurut Wan Hashimi Albakri lagi, projek baharu kumpulan itu juga mendapat sambutan yang menggalakkan melalui Kyra, siri kedua dalam Koleksi Rumah Mampu Milik, di mana ia mencapai 95 peratus pengambilan.

Laman Lakeside, rumah berkembar serta kediaman tepi tasik berharga RM1.5 juta di Bandar Bukit Raja pula meraih pengambilan sebanyak 84 peratus.

Pelancaran Serenia Arina mencatatkan satu lagi kejayaan dengan 91 peratus pengambilan, membuktikan bahawa permintaan untuk hartanah terus ada di Lembah Klang.

Syarikat berkenaan menawarkan satu lagi minggu terakhir bagi “Superdeals” pada 5-6 Oktober ini, maklumat lanjut boleh ditinjau pada www.simedarbyproperty.com/spotlight8/.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here